Teman Lelaki x Sarang Art x Abstrax: Seni Untuk Semua, Dari Hati ke Hati
- Ain Najihah
- 2 hours ago
- 2 min read

Teman Lelaki, sebuah entiti seni yang menjunjung nilai kebijaksanaan dan intelektual, kini mengorak langkah lebih jauh menerusi kolaborasi unik bersama dua nama besar dalam dunia kreatif tanah air, Abstrax dan Sarang Art.
Kolaborasi ini bukan sekadar kerjasama biasa, tetapi lahir daripada prinsip dan pemikiran yang mendalam.
Bagi Teman Lelaki, konsep “Sapio” iaitu kecenderungan terhadap kebijaksanaan menjadi asas kepada identiti Teman Lelaki. Prinsip ini bukan sekadar slogan, tetapi menjadi nilai utama dalam setiap karya dan langkah mereka.

Justeru, kolaborasi bersama Abstrax dan Sarang Art bukan sesuatu yang mengejutkan. Abstrax diasaskan oleh figura akademik, Dr. Faiz, manakala Sarang Art pula membawa legasi mendiang Mamat Khalid iaitu seorang pengkarya genius yang dikenang kerana keupayaannya mengolah kritikan sosial dengan penuh bijaksana dalam filem-filemnya.
Salah satu kemuncak kolaborasi ini ialah penganjuran Tour Sembuh, sebuah mini tour istimewa yang akan membawa Teman Lelaki bertandang ke Sarang Art di Perak.
Menariknya, meskipun lokasi ini memberi tumpuan kepada anak jati Perak, acara ini bersifat terbuka tanpa dikenakan harga tiket mahupun keperluan menunjukkan kad pengenalan.
Pendekatan ini mencerminkan semangat keterbukaan yang dipegang Teman Lelaki bahawa seni wajar dinikmati oleh semua, tanpa mengira negeri asal atau latar belakang.
Pemilihan Sarang Art juga bukan dibuat secara sembarangan. Selain didirikan oleh seorang seniman ulung negara, lokasi ini juga terletak berdekatan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang terkenal sebagai institusi pendidikan seni.
Teman Lelaki percaya bahawa audiens di kawasan ini mempunyai sensitiviti dan penghargaan yang tinggi terhadap seni, menjadikan Tour Sembuh sesuatu yang relevan dan dinanti-nantikan.
Gabungan antara seni dan keikhlasan dalam menyampaikan karya menjadikan kolaborasi antara Teman Lelaki, Abstrax dan Sarang Art ini lebih daripada sekadar hiburan tetapi ia hadir sebagai sebuah inisiatif yang menyentuh jiwa, merangsang pemikiran dan meletakkan nilai pada setiap karya yang dipersembahkan.
Comments