top of page

“Tabola Bale” Buktikan Lagu Daerah Pun Boleh Jadi Viral Seluruh Nusantara

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • Nov 7, 2025
  • 2 min read

Siapa sangka satu baris lirik mudah, “Dulu masa kici-kici nona, sekarang bali Jawa makin cantik nona~”, boleh mencetuskan satu gelombang viral besar di TikTok? Lagu Tabola Bale nyanyian kumpulan Silet Open Up kini bukan sekadar trending,  ia sudah menjadi fenomena budaya digital yang menyatukan pengguna dari pelbagai generasi dan negara.


Lagu ini sebenarnya dilancarkan sekitar April 2025, namun hanya mula meledak beberapa bulan kebelakangan ini apabila potongan audio tersebut menjadi sound popular di TikTok. Dengan irama santai dan lenggok bahasa daerah Timur yang unik, “Tabola Bale” berjaya menawan telinga pendengar serantau.


Ungkapan “Tabola Bale” berasal daripada dialek Nusa Tenggara Timur (NTT), yang membawa maksud gelisah atau tidak keruan kerana perasaan cinta. Liriknya pula menggabungkan unsur bahasa Minang dan Timur, menjadikan lagu ini terasa segar dan berbeza daripada lagu pop biasa.


Bahagian yang paling mencuri perhatian, “Dulu masa kici-kici nona, sekarang bali Jawa makin cantik nona”, kini menjadi simbol glow-up moment di TikTok. Ramai pengguna menggunakan audio ini untuk video transformasi, reunion lama, hingga ke parodi lucu tentang perubahan hidup, menjadikannya antara trend paling luas digunakan bulan ini.


Kesan daripada ledakan tersebut, Tabola Bale kini mencatat lebih 75 juta tontonan di YouTube, manakala versi audionya telah digunakan dalam ratusan ribu video TikTok di Indonesia, Malaysia dan Brunei. Lagu ini turut tersenarai dalam carta Top Viral Indonesia di Spotify, membuktikan bagaimana kuasa media sosial mampu mengubah lagu daerah menjadi fenomena arus perdana.


Selain melodi yang memikat, kejayaan lagu ini juga menunjukkan perubahan besar dalam landskap muzik moden di mana catchy sound dan authenticity lebih berharga daripada formula komersial. “Tabola Bale” berdiri sebagai bukti bahawa muzik yang lahir daripada akar budaya tempatan masih mampu menembusi pasaran global apabila disokong oleh komuniti digital yang kreatif.


Jadi, kalau anda perasan ramai pengguna TikTok “tak keruan” bila dengar bait “kici-kici nona”, jangan hairan. Itu bukan sekadar lagu tetapi itu cerminan rasa yang semua orang pernah alami; bila seseorang yang dulu biasa-biasa kini kembali dengan pesona yang luar biasa.



Comments


bottom of page