Shiro Kembali Dengan Temasya Komedi Rakyat, Jelajah Malaysia & Singapura Mei Ini!
- Nurul Safiah
- Apr 17
- 1 min read

Duo pelawak popular tanah air, Shahrol dan Ajak Shiro bakal menggegarkan pentas hiburan menerusi Temasya Komedi Rakyat, sebuah acara berskala besar yang akan menjelajah ke empat lokasi di Malaysia dan Singapura bermula Mei hingga Julai 2025.
Setelah sekian lama menyepi, kemunculan semula Shiro menerusi temasya ini bukan sahaja menjanjikan gelak ketawa, malah turut menyuntik elemen sejarah, budaya dan kisah masyarakat pasca-kemerdekaan Malaysia dalam bentuk komedi yang dekat di hati rakyat.
Acara ini turut menampilkan barisan pelawak dan selebriti popular seperti Fikry Ibrahim, Zulin Aziz, Danial Zaini, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi yang bakal menghidupkan pentas dengan tiga segmen utama iaitu komedi stand-up, improv komedi dan sketsa.
Selain persembahan komedi, Temasya Komedi Rakyat turut mempersembahkan pelbagai acara sampingan seperti Festival Makan Rakyat yang mengetengahkan vendor makanan & minuman tempatan, serta Let’s Spontan Perpaduan, pentas terbuka bagi pengunjung yang ingin menyerlahkan bakat komedi mereka.

Turut menarik perhatian ialah segmen EduComedy, yang memperkenalkan konsep pembelajaran melalui komedi dengan kerjasama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Segmen khas Malam Pesta Muda-Mudi pula bakal mengembalikan nostalgia seni hiburan tanah air dengan persembahan bertemakan retro, sesi ‘open mic’ dan pertandingan nyanyian yang meraikan bakat baharu serta keunikan muzik warisan negara.
Jadual Temasya Komedi Rakyat 2025 bakal diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang; Dewan Tuanku Canselor, UPSI, Tanjong Malim, Perak; Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, Parit Raja, Johor; dan di Singapura.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati hiburan penuh warna ini!

Comments