top of page

DOLLA Lancar UGLY, Lagu Tentang Harga Diri Dan Persepsi

Writer: N
N
16 hours ago
2 min read

DOLLA kembali dengan “UGLY”, sebuah lagu yang mengubah rasa kecewa, pengalaman dihakimi dan pandangan orang lain menjadi tenaga untuk bangkit semula. Kali ini, kumpulan tersebut tampil lebih berani dengan mesej tentang harga diri, identiti dan keberanian menentukan naratif sendiri.


Berbeza daripada sekadar lagu tentang melawan, “UGLY” membawa persoalan yang agak dekat dengan kehidupan seharian. Berapa kali kita dinilai berdasarkan apa yang orang nampak, apa yang mereka dengar atau cerita yang disampaikan oleh orang lain?

Bagi DOLLA, pengalaman sebegitu menjadi antara pencetus utama di sebalik lagu ini. Setiap anggota kumpulan mempunyai pengalaman tersendiri apabila berdepan dengan penilaian dan salah faham, menjadikan mesej “UGLY” lebih peribadi buat mereka.


DOLLA sendiri menggambarkan lagu ini sebagai sesuatu yang “tanpa kompromi”. Intinya mudah, mereka mahu berdiri teguh dengan siapa diri mereka tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti atau nilai diri.


Menariknya, konsep tersebut turut diterjemahkan melalui video muzik “UGLY”. Kalau dengar lagunya sahaja sudah terasa garang, visual pula membawa cerita yang lebih simbolik.


Video muzik berkenaan mendapat inspirasi daripada Wayang Kulit, seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia. Elemen cahaya dan bayang digunakan untuk menggambarkan perbezaan antara persepsi dengan kebenaran.

Konsep ini sebenarnya cukup kena dengan mesej lagu. Dalam Wayang Kulit, penonton melihat bayang-bayang dan membentuk tanggapan tentang watak tanpa semestinya melihat keseluruhan gambaran. Begitu juga dalam kehidupan sebenar apabila seseorang mudah dinilai berdasarkan penampilan, khabar angin atau cerita daripada pihak lain.


Menerusi “UGLY”, DOLLA seakan-akan mengingatkan bahawa apa yang kita nampak tidak semestinya menggambarkan keseluruhan cerita.


Bahagian hook lagu ini pula hadir dengan tenaga yang lebih agresif menerusi lirik “You better go run, you better go hide.” Sesuai dengan keseluruhan mood lagu yang membawa rasa “okay, sudah cukup”.


Dari sudut produksi video muzik, sebahagian besar dunia visualnya dibentuk ketika proses pascaproduksi. Ini bermakna anggota DOLLA perlu membayangkan sendiri bagaimana rupa dan skala dunia tersebut ketika berada di set penggambaran.


Lebih menarik, beberapa babak dirakam hampir sepenuhnya dalam keadaan gelap di sebuah rumah tradisional Melayu. Elemen tersebut memberikan suasana misteri, selain menjadikan identiti tempatan lebih terasa dalam visual “UGLY”.

Kemunculan “UGLY” juga meneruskan perjalanan era muzik DOLLA yang sebelum ini dimulakan dengan “G.O.A.T”. Kali ini, kumpulan tersebut memilih untuk merangkul sisi yang lebih kacau, berani dan tidak terlalu memikirkan penerimaan orang lain.


Dalam masa sama, DOLLA turut menyasarkan lebih banyak peluang persembahan di peringkat antarabangsa. Kumpulan itu mahu mendekati pendengar di luar Malaysia dan mengukuhkan lagi kehadiran mereka di pentas global.


Buat pendengar Malaysia yang pernah rasa penat melayan pandangan orang, “UGLY” mungkin boleh jadi soundtrack untuk saat kita memilih untuk berhenti menjelaskan diri kepada semua orang. Kadang-kadang, tak semua perkara perlu dibuktikan. Ada masanya kita cuma perlu teruskan langkah dengan cara sendiri.


“UGLY” kini boleh didengarkan menerusi platform penstriman utama.

Comments


bottom of page