“Senandung” Mafidz Dinobat Juara Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2024
- Nurul Safiah
- Jul 28
- 2 min read

Lagu “Senandung” nyanyian Mafidz feat. Otam berjaya merangkul gelaran Juara Lagu Terbaik pada Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2024 yang bersiaran secara langsung dari JioSpace malam tadi menerusi saluran YouTube rasmi Anugerah Lagu Indie.
Malam kemuncak itu menyaksikan 15 finalis bersaing dalam tiga kategori utama iaitu Pop, Hip Hop dan Rock.
Persembahan pembukaan dimulakan secara bertenaga oleh kumpulan Kyoto Protocol dengan medley lagu popular mereka termasuk “Dan Sebenarnya”, “Too Phat Baby” dan “Lagu Untukmu”.

Acara turut diserikan dengan penampilan istimewa kumpulan rock alternatif Seven Collar T-Shirt yang membawa lagu-lagu ikonik mereka seperti “Fragile”, “Lines” dan “Lucky You”.
Bagi kategori Pop, antara yang bersaing ialah Odelia Tirza, Fimie Don feat Heidi Moru, Max Brandon, Reubben Chelvan, dan Umar Akmal.
Dalam kategori Hip Hop pula, penonton disajikan dengan persembahan daripada Bubba D, Fusion Cypher House, Radtheory bersama Hamza, B-Heart, dan Pikabu.

Sementara itu, kategori Rock menyaksikan kehadiran Teh Tarik Senja, An Honest Mistake bersama Amanda Love & Ewan Roslan, Inversion, Crazy Grizzly bersama Dhenaldi Savirio, serta Mafidz bersama Otam.
Lagu “Senandung” ciptaan Megat Hafidz, Megat Fazly, Megat Aizzat dan Otam berjaya menambat hati juri dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.
Setiap pemenang kategori Lagu Pop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Persembahan Terbaik pula menerima RM5,000. Selain itu, Anugerah Lagu Terpaling Platinum menerusi Carta Indie Kita turut menyampaikan ganjaran tunai bernilai RM1,000.

Panel juri profesional yang mengadili pertandingan ini terdiri daripada AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock, serta Prof Madya Dr. Muhammad Sayyid, diketuai oleh Wing Meng.
Turut hadir memeriahkan malam anugerah tersebut ialah YB Adam Adli, Tuju, Loca B, Sharifah Amani, Shamaine Othman dan ramai lagi figura seni tanah air.
Sebagai sebuah acara yang meraikan muzik bebas, ALI terus membuktikan bahawa bakat tempatan wajar diberi ruang yang setara untuk bersinar.

Comments