Insomniacks Kembali Mengusik Hati Di "Malam Simfoni Luka"
- Atiqah Halim

- 5 days ago
- 2 min read

Lepas kejayaan konsert solo pertama mereka Echoes of a Dream yang penuh lautan peminat di Zepp KL Julai lalu, Insomniacks kini bersedia menggempur pentas sekali lagi. Kali ini bersama barisan band emosi seperti For Revenge dan Midnight Fusic dalam acara Malam Simfoni Luka, yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Nama Malam Simfoni Luka saja dah cukup buat peminat sedia dengan tisu di tangan. Gabungan band yang terkenal dengan lagu-lagu heartbreak ini dijangka jadi malam yang penuh perasaan dan nostalgia, khas untuk mereka yang pernah “tersangkut” pada lirik-lirik yang terlalu relatable.
Dari bawah tanah ke carta utama
Bagi yang baru kenal, Insomniacks bukan nama yang muncul tiba-tiba. Band yang dianggotai oleh Iskandar, Danial, dan Iqie ini bermula dari bawah. Dulu hanya sekadar band kampus yang buat cover lagu di YouTube dan gig kecil sekitar Lembah Klang. Tapi siapa sangka, dengan gaya muzik pop rock mellow yang raw dan lirik yang menyentuh hati, mereka berjaya pecah tembok arus perdana.
Lagu Reminisensi jadi titik perubahan besar. Single tu bukan sekadar viral di TikTok, tapi jadi anthem untuk ramai yang sedang rindu masa lalu, rindu orang yang dah pergi, dan rindu diri sendiri yang dulu. Dari situ, lagu-lagu seperti Sempurna, Igauan Malam dan Pulangan terus melonjak nama mereka dalam senarai band paling digilai Gen Z Malaysia.

Echoes of a Dream
Bila Insomniacks umum konsert solo pertama Echoes of a Dream, ramai skeptikal sama ada mereka mampu penuhi venue sebesar Zepp Kuala Lumpur. Tapi malam 12 Julai 2025 buktikan sebaliknya. Tiket sold out, crowd menyanyi serentak dari lagu pertama sampai encore.
Momen paling diingati? Bila Umar duduk di tepi pentas, pegang gitar dan cakap, “Dulu kita main untuk sepuluh orang je. Malam ni, sepuluh orang tu dah jadi ribuan.” Peminat terus banjir ruang komen dengan video dari konsert tu. Ini membuktikan band ni dah bukan lagi ‘underdog’.

Malam Simfoni Luka
Dengan momentum yang makin laju, persembahan Insomniacks dalam Malam Simfoni Luka dijangka jadi salah satu highlight tahun depan. Gabungan suara lirikal mereka dengan suasana melankolik acara ni pasti buat ramai tenggelam dalam emosi.
Bagi yang pernah rasa patah hati, atau sekadar nak tengok band yang dulu kecil kini berdiri megah, Malam Simfoni Luka bakal jadi malam yang tak boleh dilepas. Dan kalau sejarah Echoes of a Dream jadi ukuran, Insomniacks pasti akan buat semua orang ‘terjaga’ semula, walau cuma untuk satu malam.









Comments