“Kids from Palestine”: Green Day Gema Solidariti di Pentas Coachella 2025
- Nurul Safiah
- Apr 15
- 1 min read

Pentas utama Coachella 2025 menjadi saksi satu momen luar biasa apabila band legenda punk rock, Green Day, menyuarakan sokongan lantang terhadap rakyat Palestin di hadapan ribuan penonton.
Dalam persembahan sulung mereka sebagai headliner festival gergasi itu pada malam 13 April, Billie Joe Armstrong mengejutkan ramai apabila mengubah lirik lagu Jesus of Suburbia.
Ketika membawakan lagu ikonik berkenaan, Billie Joe secara spontan mengubah salah satu baris lirik menjadi, “Runnin’ away from pain, like the kids from Palestine, tales from another broken home.”
Perubahan lirik tersebut disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada para penonton, sekaligus mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

Ramai netizen memuji keberanian Green Day menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin di pentas sebesar Coachella.
Green Day sememangnya dikenali sebagai band yang tidak gentar menyentuh isu-isu sosial dan politik.
Album mereka American Idiot (2004) dahulu merupakan bentuk protes terhadap pemerintahan George W. Bush dan Perang Iraq. Maka tidak mengejutkan apabila kumpulan itu sekali lagi menggunakan muzik sebagai medium perjuangan dan kesedaran.
Walaupun reaksi penonton berbeza-beza, majoriti menyatakan sokongan terhadap mesej yang dibawa. Ramai beranggapan tindakan itu membuktikan bahawa Green Day masih relevan dan berani, walaupun lebih dua dekad berkecimpung dalam industri muzik.
“I don’t feel any shame, I won’t apologise. Running away from pain, like the kids from Palestine,” antara petikan lirik yang tular di media sosial.
Bagi Green Day, muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga alat untuk menyuarakan keadilan dan perlawanan terhadap ketidakadilan dunia.
Dan malam itu, dari gurun California hingga ke seluruh dunia, suara anak-anak Palestin bergema melalui mikrofon Green Day.

Comentários