Kelab YSD-Kakiseni Junior Kembang Sayap Ke Seluruh Malaysia
- Nurul Safiah
- Jun 24
- 2 min read
Program inkubasi seni Kelab YSD-Kakiseni Junior mencatat sejarah baharu apabila berjaya diperluaskan ke semua 16 negeri di Malaysia, melibatkan 480 pelajar daripada 16 sekolah baharu dalam edisi 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 23 Jun.
Dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) dan Kakiseni, program ini menyediakan platform pembelajaran seni kreatif kepada pelajar sekolah rendah melalui kolaborasi erat antara guru dan artis profesional dalam seni persembahan dan visual.

32 guru baharu dan 16 artis dari seluruh negara, termasuk dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, berkumpul di ibu negara untuk menyertai latihan intensif selama lima hari, meliputi bengkel praktikal, pembangunan profesional, dan sesi perkongsian ilmu bersama tokoh seni tersohor negara.
Para peserta turut menyertai lawatan ke Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dan mempersembahkan hasil latihan dalam sesi persembahan penutup.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr. Hajah Yatela Zainal Abidin berkata, kelab YSD-Kakiseni Junior telah membina ekosistem mampan yang menyatukan guru, artis dan pelajar menerusi kekuatan seni.
Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen, pula menegaskan bahawa program ini menjadikan kreativiti sebagai ‘bahasa harian’ di sekolah, mengubah cara pelajar dan guru mendekati pembelajaran secara menyeluruh.
“Bila artis profesional menjadi sebahagian daripada ekosistem sekolah, setiap subjek menjadi lebih hidup, kreatif dan menyentuh emosi,” ujarnya.

Sehingga kini, Kelab YSD-Kakiseni Junior telah melibatkan 90 guru terlatih, 48 artis profesional, 1354 pelajar, dan 45 buah sekolah di seluruh negara.
Kesemua bahan pengajaran seperti modul guru, buku kerja pelajar dan silibus turut ditawarkan secara percuma melalui laman web rasmi Kakiseni Junior, sebagai usaha memastikan kesinambungan dan replikasi program di masa akan datang.
Kelab YSD-Kakiseni Junior terus mengukuhkan komitmennya untuk menjadikan seni sebagai alat perubahan, membentuk komuniti pelajar yang berempati, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan, serta memacu perubahan yang berpanjangan melangkaui bilik darjah.
Comments