top of page

Hendery WayV Bakal Temui Peminat Di Sunway Pyramid September Ini

Writer: N
N
4 hours ago
2 min read

Peminat K-pop Malaysia, bersedia! Hendery WayV bakal hadir ke Kuala Lumpur pada September ini untuk bertemu peminat sempena sambutan ulang tahun ke-25 jenama kosmetik IN2IT di Sunway Pyramid.


Hendery, yang merupakan anggota kumpulan WayV di bawah NCT, akan membuat kemunculan khas pada Sabtu, 26 September 2026 di Orange Concourse, Sunway Pyramid. Acara dijadualkan bermula pada jam 2 petang, manakala pendaftaran dibuka lebih awal pada jam 12.30 tengah hari.

Kemunculan ini menjadi acara kemuncak kepada sambutan enam hari IN2IT yang berlangsung dari 22 hingga 27 September 2026, dengan tema “Beauty and Love”. Selain meraikan 25 tahun jenama itu berada di pasaran Malaysia, acara berkenaan turut membawa pengalaman kecantikan secara interaktif untuk pengunjung.


Hendery yang berasal dari Macao dikenali sebagai rapper dan penari dalam WayV. Dengan gaya persembahan yang cukup berkarisma, kehadirannya kali ini pastinya menjadi antara tarikan utama buat peminat NCT dan WayV di Malaysia. Lebih menarik, sesi kemunculan tersebut turut menampilkan Q&A bersama Hendery di atas pentas.


Bagi peminat yang mahu mendapatkan peluang bertemu Hendery dengan lebih dekat, IN2IT dan Watsons turut menganjurkan peraduan khas yang berlangsung sehingga 23 September 2026. Untuk menyertai, peminat perlu membeli produk IN2IT dengan jumlah minimum RM125 dalam satu resit, termasuk sekurang-kurangnya satu set ulang tahun ke-25 IN2IT, di mana-mana kaunter IN2IT di Watsons seluruh Malaysia.

Daripada semua penyertaan, 100 pemenang akan dipilih. Seramai 50 pemenang utama bakal mendapat peluang menyertai sesi bergambar berkumpulan bersama Hendery, manakala 50 pemenang lain akan menerima pas eksklusif untuk sesi meet-and-greet.


Kalau tak sempat mengejar peluang peraduan pun, masih ada sebab untuk singgah ke Sunway Pyramid. Sepanjang enam hari acara berlangsung, pengunjung boleh mencuba pelbagai produk solekan dan penjagaan kulit IN2IT, termasuk Moisture Bomb Lipstick, Cica Glow Sunscreen SPF50+ PA+++, Airblur Matte Lipstick serta set khas ulang tahun ke-25.


Jadi, bagi peminat WayV dan penggemar K-beauty, 22 hingga 27 September mungkin tarikh yang boleh mula ditanda dalam kalendar. Lagi-lagi kalau memang sudah lama menunggu peluang untuk melihat Hendery secara dekat tanpa perlu terbang ke luar negara.

Comments


bottom of page