top of page

Jeong Eunji Apink Bakal Bawa Konsert Solo Ke Kuala Lumpur Oktober Ini

Writer: N
N
3 hours ago
2 min read

Baru beberapa bulan selepas Apink muncul di Kuala Lumpur, peminat K-pop Malaysia bakal berjumpa semula dengan Jeong Eunji. Kali ini bukan bersama Apink, tetapi menerusi 2026 JEONG EUNJI SOLO CONCERT ASIA TOUR [SUMMER, I] IN KUALA LUMPUR pada 11 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Eunji sebelum ini bersama Apink ketika kumpulan itu membuat kemunculan di Malaysia pada 3 Mei lalu. Namun, konsert kali ini bakal memberikan pengalaman yang agak berbeza kerana penyanyi kelahiran Busan itu akan berdiri di pentas sebagai artis solo.


Lebih menarik, Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama dalam jelajah Asia [SUMMER, I] Eunji. Maknanya, peminat Malaysia antara yang terawal berpeluang menyaksikan persembahan solo terbaharunya secara langsung sebelum jelajah itu diteruskan ke destinasi lain di Asia.


Konsert ini juga hadir seiring dengan pelancaran mini album terbaharu Eunji, SUMMER, I. Album tersebut menjadi satu lagi perkembangan dalam perjalanan muzik solonya selepas beberapa karya terdahulu seperti Dream, The Space, Hyehwa, Simple dan Log.


Bagi yang lebih mengenali Eunji menerusi Apink, ini peluang untuk melihat sisi berbeza penyanyi yang terkenal sebagai vokalis utama kumpulan tersebut. Kerjaya solonya banyak mengetengahkan genre seperti K-pop, balada dan pop-rock, dengan kekuatan vokal menjadi antara identiti utamanya.

Antara lagu solo Eunji yang cukup dikenali termasuk Hopefully Sky dan Away. Peminat juga mungkin mengharapkan beberapa lagu kolaborasinya seperti All For You bersama Seo In-guk dan Love Day bersama Yang Yoseob. Sudah tentu, lagu-lagu popular Apink seperti Mr. Chu, LUV dan Dumhdurum juga antara karya yang membuatkan namanya begitu dekat dengan peminat K-pop.


Untuk peminat yang sudah mula berkira-kira mahu mendapatkan tiket, jualan akan dibuka pada 7 September 2026, jam 12 tengah hari (MYT) menerusi MAISEAT dan Trip.com. Harga tiket bermula daripada RM338 untuk CAT 3, manakala kategori VIP berharga RM738.


Pilihan tiket yang tersedia ialah VIP Seated pada RM738, Box Suites pada RM688 seorang, CAT 1 Standing pada RM538, CAT 2 Seated pada RM438 dan CAT 3 Seated pada RM338. Setiap transaksi pula dihadkan kepada maksimum empat tiket.


Selain tempat duduk, kategori tiket tertentu turut datang dengan pelbagai manfaat peminat. Antaranya termasuk lanyard VIP, peluang bergambar 1:1, group photo 1:10, sesi Hi-Bye, akses soundcheck serta barangan eksklusif seperti signed Polaroid, signed photocard, signed poster dan official event merchandise.


Bagaimanapun, tidak semua fan benefits diberikan secara automatik. Sesetengah manfaat tertakluk kepada cabutan bertuah, manakala manfaat yang ditandakan sebagai “ALL” adalah dijamin untuk kategori tiket masing-masing. Tarikh tutup kelayakan fan benefits pula ditetapkan pada 26 September 2026.

Jeong Eunji mula membuat debut bersama Apink pada 2011 sebelum memulakan kerjaya solo pada 2016 menerusi album Dream. Selain bergelar penyanyi dan penulis lagu, Eunji juga aktif sebagai pelakon dan dikenali menerusi beberapa karya drama Korea.


Dengan Kuala Lumpur dipilih sebagai hentian pertama jelajah Asia [SUMMER, I], Oktober ini nampaknya bakal menjadi satu lagi peluang untuk peminat Malaysia menikmati persembahan K-pop secara dekat. Kalau sudah lama mahu melihat Eunji tanpa formasi Apink, kali ini memang pentasnya seorang diri.

Comments


bottom of page