top of page

BIGBANG Sah Comeback Dengan Lagu Baharu Selepas 4 Tahun

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

Peminat K-pop, ini berita yang dah lama ditunggu. BIGBANG lagu baharu akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila kumpulan legenda itu dilaporkan sedang bersiap sedia untuk membuat kemunculan semula selepas empat tahun tanpa sebarang lagu baharu.

Foto Getty Images


Menurut laporan media Korea, BIGBANG dijadualkan menjalani penggambaran video muzik (MV) pada minggu ketiga Julai. Ketiga-tiga ahlinya iaitu G-Dragon, Taeyang dan Daesung dikatakan sudah menyusun jadual lebih awal bagi memastikan proses penggambaran berjalan lancar.


Lagu baharu ini bakal menjadi karya pertama BIGBANG sejak mereka melancarkan "Still Life" pada April 2022. Ketika itu, T.O.P masih lagi bersama kumpulan tersebut. Walaupun "Still Life" tidak dipromosikan secara besar-besaran, lagu itu tetap mendapat sambutan luar biasa daripada peminat dan berjaya menduduki kedudukan ketujuh carta tahunan Melon pada tahun berkenaan.


Selepas T.O.P meninggalkan BIGBANG pada Jun 2023, kumpulan itu kini bergerak sebagai trio. Sepanjang tempoh tersebut, G-Dragon, Taeyang dan Daesung lebih memberi tumpuan kepada kerjaya solo masing-masing dengan pelbagai pelancaran muzik serta siri jelajah konsert individu.


Kini, semuanya seakan menuju kepada satu babak baharu. Lagu baharu ini dijangka menjadi pembuka tirai sebelum BIGBANG memulakan jelajah dunia pertama mereka dalam tempoh sembilan tahun.


BIGBANG bakal memulakan BIGBANG 2026 WORLD TOUR di Goyang Sports Complex, Gyeonggi, Korea Selatan dari 21 hingga 23 Ogos 2026. Selepas itu, mereka dijadualkan mengadakan 31 persembahan di 18 bandar seluruh dunia termasuk Amerika Utara, Eropah, Oceania dan Asia. Beberapa destinasi lain dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.


Bagi peminat yang mengikuti perjalanan BIGBANG sejak era "Haru Haru", "Fantastic Baby" hinggalah "Still Life", kemunculan semula ini pastinya menjadi antara momen paling dinantikan tahun ini. Kini, ramai hanya menunggu pengumuman rasmi mengenai tarikh pelancaran lagu serta teaser pertama daripada trio ikonik K-pop itu.

Comments


bottom of page