top of page

G-DRAGON & BIGBANG 20th Anniversary diraikan peminat Malaysia menerusi tiga pengalaman berbeza

  • Writer: N
    N
  • 11 minutes ago
  • 3 min read

Dua dekad dalam industri muzik bukanlah tempoh yang pendek. Sempena G-DRAGON & BIGBANG 20th Anniversary, komuniti peminat Malaysia bakal disatukan menerusi projek fan-led “Still Life With You For 20 Years” yang berlangsung di Johor Bahru, Penang dan Kuala Lumpur pada Ogos ini.


Menariknya, sambutan ini bukan sekadar acara bergambar atau gathering peminat. Setiap lokasi membawa konsep tersendiri, daripada ruang bertemakan BIGBANG hinggalah pengalaman galeri yang mengimbas perjalanan kumpulan itu sepanjang 20 tahun.

Sambutan di Johor Bahru berlangsung pada 8 dan 9 Ogos di R&F Mall dengan konsep Building Takeover Experience. Ruang tersebut dihiasi dengan dekorasi bertemakan BIGBANG dan menampilkan fan booth, barangan eksklusif, permainan interaktif serta pelbagai aktiviti komuniti.


Kemasukan adalah percuma. Peminat juga berpeluang mendapatkan cenderamata khas, dengan 288 set disediakan setiap hari untuk pengunjung terawal.


Pada 9 Ogos, sambutan diteruskan di Base.PG Café, Penang menerusi konsep Birthday Café Experience. Kali ini, suasananya lebih santai dengan tema tropika ala Hawaii di lokasi berhampiran pantai. Ia menjadi ruang untuk peminat meraikan hari lahir G-DRAGON sambil memperingati dua dekad perjalanan BIGBANG.


Pengunjung yang membeli satu minuman akan menerima set cenderamata khas. Namun, jumlahnya terhad kepada 188 set sahaja.

Bagi peminat di Lembah Klang, Kuala Lumpur menjadi acara utama menerusi sambutan pada 15 dan 16 Ogos di APW Bangsar.


Edisi Kuala Lumpur hadir dengan dua ruang utama iaitu THE UPPERCASE dan THE INK, menjadikannya bahagian terbesar dalam keseluruhan projek tiga negeri ini.


THE UPPERCASE merupakan pengalaman galeri yang membawa peminat menyusuri perjalanan BIGBANG sepanjang 20 tahun.


Antara elemen yang diketengahkan termasuk Flower Road Walkway, Still Life Four Seasons dan GD & BIGBANG: The Legacy Hall. Setiap ruang diinspirasikan daripada lagu, era dan momen penting dalam perjalanan kumpulan tersebut.

Peminat juga boleh melihat ruang yang didedikasikan kepada karya dan identiti setiap ahli BIGBANG, selain beberapa Secret Rooms yang menyimpan kejutan untuk diterokai.


Perjalanan pameran itu kemudiannya berakhir di 20 Years in Frame, sebuah high-angle photobooth yang membolehkan pengunjung merakam foto kenangan sempena ulang tahun ke-20 BIGBANG.


Kalau THE UPPERCASE lebih kepada pengalaman mengenang sejarah BIGBANG, THE INK pula menjadi ruang untuk peminat berkumpul dan berseronok. Antara aktiviti yang dirancang termasuk persembahan flash mob, vendor booth, permainan interaktif dan program komuniti sepanjang acara berlangsung.


Tiket Kuala Lumpur turut merangkumi satu slot kemasukan THE UPPERCASE, akses tanpa had ke THE INK pada hari acara, satu set cenderamata yang mengandungi enam item eksklusif serta satu penyertaan Lucky Draw.


Apa yang menarik tentang “Still Life With You For 20 Years” ialah projek ini digerakkan menerusi sokongan dan kutipan dana daripada komuniti peminat.

Dana tersebut digunakan untuk menjayakan sambutan di tiga negeri, manakala hasil jualan tiket acara Kuala Lumpur membantu menampung kos venue, produksi, pameran dan operasi.


Peminat yang menyokong kempen kutipan dana juga akan menerima penghargaan khas mengikut jumlah sumbangan, termasuk cenderamata eksklusif bagi beberapa peringkat sumbangan.


Sambutan ini bukan hanya untuk mereka yang sudah mengikuti BIGBANG sejak era debut. Peminat yang baru mengenali muzik BIGBANG atau karya solo G-DRAGON juga dialu-alukan untuk menyertai sambutan tersebut.


Selepas 20 tahun, muzik BIGBANG sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada memori ramai peminat di Malaysia. Jadi, projek sebegini bukan sekadar meraikan ulang tahun sebuah kumpulan, tetapi turut meraikan perjalanan dan kenangan yang dikongsi bersama peminat selama dua dekad.

Buat VIP yang masih mencari aktiviti untuk mengimbau kembali era BIGBANG, sambutan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos di APW Bangsar nampaknya menjadi acara yang paling banyak untuk diterokai.

Comments


bottom of page