BLACK OPS Satukan Malaysia dan Hong Kong, Filem Aksi Lokal Kini Main Liga Antarabangsa
- Atiqah Halim

- 1 day ago
- 2 min read

Industri perfileman Malaysia terus naik level apabila sebuah projek aksi berskala besar diumumkan menerusi filem Black Ops, hasil kolaborasi rentas negara antara produksi tempatan dan Hong Kong. Lebih besar daripada biasa, lebih berani daripada sebelumnya, Black Ops bakal menggegarkan pawagam hujung tahun 2026.
Filem ini menyatukan nama-nama besar seperti Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Komet Studios, Marvelous Culture & Film dan GSC bersama syarikat produksi tersohor Hong Kong, One Cool Films milik aktor terkenal Louis Koo. Ini juga menjadi detik bersejarah apabila One Cool Films buat pertama kali bekerjasama dengan produksi dari Malaysia.

Dari segi pengarahan, Black Ops diterajui oleh Syafiq Yusof selaku pengarah utama bersama Chui Tze Yui dari Hong Kong. Gabungan dua dunia ini menjadikan Black Ops simbol hubungan kreatif perfileman Malaysia dan Hong Kong yang semakin kukuh dan relevan di peringkat antarabangsa.
Lebih menarik, filem ini menghimpunkan barisan pelakon lintas negara yang padu. Antara yang terlibat ialah Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan, Ken Law atau Super Ken, Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan serta adik Rania Amanda. Line up ini jelas menunjukkan Black Ops bukan projek biasa-biasa.

Dari sudut aksi pula, Black Ops digerakkan oleh dua pengarah lagak ngeri bertaraf antarabangsa iaitu Ken Law dan Sean Lin. Ken Law yang juga calon Anugerah Golden Horse 2025 dikenali dengan koreografi aksi realistik dan berskala besar. Sean Lin pula datang dari pasukan lagenda Hung Ga Ban yang diasaskan oleh Sammo Hung. Gabungan dua figura ini dijangka melonjakkan kualiti aksi Black Ops ke tahap piawaian global.
Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif, Datuk Yusof Haslam menyifatkan Black Ops sebagai lebih daripada sekadar hiburan. Menurut beliau, kekuatan cerita, lakonan yang jujur, promosi berkesan dan sokongan penonton tempatan adalah kunci kejayaan sesebuah filem. Beliau turut berharap kolaborasi ini membuka lebih banyak ruang untuk filem Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

Pengarah One Cool Films dan Penerbit Bersama, Tang Wai But pula melihat Black Ops sebagai permulaan kepada hubungan jangka panjang antara industri perfileman Hong Kong dan Malaysia. Katanya, projek ini bukan sahaja bertujuan menghasilkan filem berkualiti tinggi, malah membantu memperluaskan penembusan filem Malaysia ke pasaran serantau dan global.
Sementara itu, Ketua Astro Shaw dan Penerbit Eksekutif Bersama, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan penglibatan Astro Shaw dalam projek ini sebagai langkah strategik untuk menetapkan standard baharu dalam industri perfileman tempatan. Dengan kekuatan platform dan pengalaman yang ada, Astro Shaw yakin Black Ops mampu mencapai potensi maksimum.
Dari segi jalan cerita, Black Ops mengisahkan Johan, seorang anggota pasukan elit yang didakwa membunuh isterinya serta kehilangan anak perempuannya. Terperangkap dalam konspirasi berkuasa, Johan terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri demi membersihkan namanya dan menuntut kembali kehidupannya.
Dengan skala produksi besar, pasukan kreatif antarabangsa dan naskhah aksi yang sarat emosi serta ketegangan, Black Ops kini menjadi antara filem paling dinantikan tahun ini. Industri tempatan jelas sedang melangkah jauh, dan Black Ops mungkin bukti paling solid setakat ini.
Ikuti perkembangan terkini Black Ops di semua platform media sosial Skop Productions, One Cool Studios dan Astro Shaw.









Comments