Diana Danielle & Francis Roman Bawa Mood Raya Moden Dalam “Raya Macam Mana?”
- Tasnim Ahmad
- Mar 12
- 2 min read
Menjelang Aidilfitri, deretan lagu raya baharu memang antara perkara yang paling ditunggu. Tahun ini, pelakon dan penyanyi popular Diana Danielle tampil dengan sesuatu yang sedikit berbeza menerusi single raya “Raya Macam Mana?” hasil kolaborasi bersama rapper meningkat naik Francis Roman.

Kalau biasanya lagu raya sarat dengan elemen nostalgia, lagu ini pula datang dengan rentak ceria dan moden, sesuai dengan vibe generasi sekarang yang sambut raya dengan cara lebih santai tetapi masih penuh makna.
Apa yang menarik tentang “Raya Macam Mana?” ialah konsepnya yang dibawakan seperti dialog muzik.
Dalam lagu ini, Francis bertanya tentang pengalaman menyambut Hari Raya, manakala Diana pula menjawab dengan menerangkan tradisi perayaan tersebut melalui lirik yang ringan dan mudah difahami.
Pendekatan ini bukan sahaja kreatif, malah memberi perspektif menarik kepada mereka yang mungkin kurang biasa dengan budaya raya di Malaysia.
Lebih unik, Diana turut menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin sebagai simbol perjalanan pembelajarannya serta gambaran kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Secara tidak langsung, lagu ini membawa mesej bahawa sambutan Aidilfitri boleh diraikan bersama, walaupun datang daripada latar belakang budaya yang berbeza.
Kolaborasi ini juga diperkukuhkan dengan segmen rap bertenaga daripada Francis.
Rap yang diselitkan memberi warna kontemporari pada lagu ini dan menjadikannya terasa lebih segar berbanding lagu raya tradisional. Gabungan vokal Diana yang lembut dengan gaya rap Francis menjadikan keseluruhan lagu terasa dinamik dan mudah melekat di telinga.
Bagi melengkapkan pelancaran single ini, video muzik rasmi “Raya Macam Mana?” turut diterbitkan dengan suasana Aidilfitri yang cukup relatable untuk rakyat Malaysia.
Video tersebut memaparkan Diana dan Francis bersama rakan-rakan mereka melalui pelbagai momen raya yang kita semua kenal.
Turut diselitkan babak pertemuan semula keluarga serta suasana rumah terbuka yang meriah. Gerak tari santai yang dikoreograf bersama oleh Francis dan dekorasi raya berwarna-warni menjadikan video ini terasa hidup dan ceria.
Secara keseluruhannya, “Raya Macam Mana?” bukan sekadar lagu raya biasa. Ia membawa gambaran tentang keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa dan budaya.
Dalam dunia yang semakin moden, mesej seperti ini terasa lebih relevan bahawa kemeriahan raya sebenarnya boleh dikongsi bersama, tidak kira siapa pun kita.

Kalau anda sedang cari lagu raya baharu untuk masuk playlist tahun ini, mungkin “Raya Macam Mana?” boleh jadi salah satu pilihan.



Comments