top of page

Aizat Amdan & SOG Pertaruh Bunyi Baharu Dalam “Ajar Aku”

  • Writer: N
    N
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Kolaborasi antara Aizat Amdan dan Sekumpulan Orang Gila memang bukan sesuatu yang orang jangka. Tapi itulah yang buat single baharu “Ajar Aku” terasa menarik sejak pertama kali diumumkan. Bila dunia pop soulful bertembung dengan post-hardcore yang lebih agresif, hasilnya jadi satu eksperimen muzik yang rare untuk scene muzik tempatan sekarang.

Single “Ajar Aku” hadir sebagai taruhan baharu buat Aizat selepas sekian lama dikenali dengan lagu-lagu balada dan pop alternatif yang dekat dengan jiwa pendengar Malaysia. Kali ini, dia memilih untuk keluar daripada zon selesa bersama SOG demi mencipta sesuatu yang lebih segar, lebih berani dan ada identiti tersendiri.

Apa yang buat lagu ini lagi menarik, proses penghasilannya sebenarnya berlaku secara spontan ketika rakaman podcast “Dari Studio Podcast”. SOG yang hadir sebagai tetamu episod tersebut akhirnya terus terlibat dalam sesi jamming dan penciptaan lagu secara live. Dari sembang santai pasal muzik dan industri, terus lahir sebuah lagu penuh emosi yang kini jadi antara kolaborasi paling unik tahun ini.


Menurut Aizat, “Ajar Aku” banyak berkisar tentang ego, penerimaan dan keberanian manusia untuk terus belajar dalam hidup. Tema itu mungkin nampak sederhana, tapi memang dekat dengan realiti ramai orang. Kadang-kadang kita terlalu mahu nampak kuat sampai lupa bahawa meminta tunjuk ajar juga satu bentuk kekuatan.

Dari segi bunyi pula, lagu ini memang ada vibe sinematik yang besar. Vokal lembut dan soulful Aizat dipadankan dengan karakter suara Raja Nazrin Shah yang lebih kasar dan keras. Gabungan dua gaya berbeza itu sebenarnya jadi kekuatan utama “Ajar Aku”. Ada elemen pop rock progresif, alternatif moden dan sedikit sentuhan dramatik yang buat lagu ini terasa lebih cinematic bila didengar dengan headphone.


Antara nama penting di belakang produksi lagu ini ialah Anas Amdan yang membantu membentuk susunan muzik serta elemen strings yang menaikkan lagi emosi keseluruhan lagu.

Tapi plot twist paling kaypoh dalam lagu ini mestilah kemunculan istimewa Yuna di penghujung lagu. Menurut Aizat, bahagian vokal wanita asalnya cuma placeholder AI untuk demo sementara. Kebetulan Yuna berada di studio sama ketika proses rakaman berlangsung, dia terus offer untuk rakam bahagian tersebut sendiri selepas mendengar lagu itu.


Dan ya, keputusan itu memang jadi. Hasil akhirnya jauh lebih hidup dan organik berbanding versi demo asal. Lagi menarik, Yuna juga antara individu awal yang percaya lagu ini ada potensi besar termasuk menggalakkan penghasilan video muzik rasmi.


Dalam industri muzik yang kadang-kadang bermain selamat, “Ajar Aku” terasa macam satu langkah berani. Ia bukan sekadar gabungan dua genre, tapi juga bukti artis tempatan masih mahu bereksperimen dan cari bunyi baharu tanpa hilang identiti sendiri.

Single “Ajar Aku” kini sudah boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube. Kalau anda suka lagu yang ada emosi, tekstur bunyi besar dan vibe alternatif moden, lagu ini memang patut masuk playlist.

Comments


bottom of page