Konsert Revolusi Radja 25 Tahun Bakal Ubat Rindu Peminat Malaysia
- N

- 24 minutes ago
- 2 min read
Peminat muzik Indonesia era 2000-an nampaknya boleh mula ‘warm up’ suara dari sekarang sebab Konsert Revolusi Radja 25 Tahun bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 Julai 2026. Selepas mencetuskan fenomena menerusi Konsert RadjaWali awal tahun ini, kumpulan Radja kembali lagi ke Malaysia kali ini dengan konsert solo penuh yang dijangka lebih emosional, lebih besar dan penuh nostalgia.

Bertempat di Stadium Hoki Bukit Jalil, konsert sempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni Radja ini bakal menghimpunkan peminat setia yang membesar dengan lagu-lagu seperti Cinderella, Jujur, Benci Bilang Cinta dan Manusia Biasa. Bagi ramai peminat muzik Nusantara, lagu-lagu ini memang ‘soundtrack’ zaman bercinta, putus cinta dan zaman sekolah dulu.
Radja yang dianggotai oleh Ian Kasela, Moldy, Adit dan Seno Aji sememangnya cukup dikenali dengan identiti muzik pop rock yang pernah mendominasi radio dan carta muzik serantau sekitar awal 2000-an. Jadi tidak hairanlah kalau ramai yang anggap konsert ini sebagai reunion nostalgia bersama lagu-lagu lama yang masih relevan sampai sekarang.
Apa yang menarik, konsert kali ini bukan sekadar persembahan biasa. Pihak penganjur turut menjanjikan beberapa kejutan termasuk tribute khas daripada dua DJ wanita profesional dari Malaysia dan Indonesia yang akan mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam versi elektronik yang lebih moden dan segar.
Setakat ini, nama DJ dari Indonesia iaitu Nathalie Holscher sudah disahkan akan terlibat dalam persembahan tersebut. Menariknya, walaupun lagu-lagu Radja diberi sentuhan EDM dan susunan muzik baharu, elemen emosi dan identiti asal karya mereka tetap dikekalkan.
Selain itu, beberapa artis jemputan dari Malaysia juga dikhabarkan bakal membuat penampilan khas, namun nama mereka masih dirahsiakan buat masa ini. Jadi bolehlah mula teka siapa yang bakal naik pentas bersama Radja nanti.

Menurut vokalis utama Radja, Ian Kasela, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan seni mereka. Setiap kali tampil membuat persembahan di sini, sambutan yang diterima sentiasa luar biasa dan penuh kehangatan daripada peminat.
Kalau anda antara generasi yang pernah hafal lirik Cinderella sampai boleh nyanyi tanpa tengok skrin karaoke, konsert ini memang antara acara muzik yang patut masuk dalam checklist Julai nanti. Bukan selalu dapat tengok band legenda Nusantara buat konsert solo penuh dengan deretan lagu hit yang masih ‘melekat’ dalam kepala ramai orang.
Maklumat lanjut mengenai harga tiket dan kategori tempat duduk dijangka diumumkan tidak lama lagi menerusi AirAsia MOVETIX.



Comments