Tiket Baharu Konsert Jason Mraz 2026 Di Kuala Lumpur Mula Dijual 12 Ogos
- N

- 2 hours ago
- 2 min read
Peminat konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur kini ada lebih banyak pilihan untuk mendapatkan tiket. Susulan sambutan menggalakkan sejak jualan dibuka, penganjur Zues Event mengumumkan empat kategori tiket baharu yang akan mula dijual pada 12 Ogos ini.
Jason Mraz bakal kembali ke Malaysia selepas tujuh tahun menerusi konsert yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 31 Oktober 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik yang dinanti-nantikan peminat tempatan, terutama mereka yang membesar dengan lagu-lagu seperti “I’m Yours”, “I Won’t Give Up”, “Lucky” bersama Colbie Caillat dan “Have It All”.

Menariknya, empat kategori tiket baharu iaitu Mellow, Rhythm, Alive dan Zenith diperkenalkan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada peminat. Harga tiket untuk kategori baharu ini bermula serendah RM258.
Secara keseluruhan, terdapat 10 kategori tempat duduk untuk konsert Jason Mraz di Kuala Lumpur. Harga tiket bermula daripada RM158 bagi kategori Signature yang mempunyai pandangan terhad, manakala kategori paling premium, Jazzy, berharga RM688.
Kategori tiket baharu yang diperkenalkan ialah Mellow pada harga RM498, Rhythm RM428, Alive RM358 dan Zenith RM258. Semua harga tersebut tidak termasuk yuran pemprosesan dan Cukai Perkhidmatan (SST).
Bagi yang masih mencari tiket, kategori baharu ini akan mula dijual pada Rabu, 12 Ogos 2026, tepat jam 12 tengah hari.
Jualan tiket boleh dibuat menerusi etix.my, MAISEAT dan Trip.com. Konsert ini menggunakan susunan tempat duduk sepenuhnya, jadi peminat boleh memilih kategori berdasarkan bajet dan pengalaman tontonan yang diinginkan.
Selain persembahan secara langsung, konsert Jason Mraz kali ini turut dijanjikan dengan elemen produksi seperti pertunjukan dron dan percikan bunga api.
Kepulangan Jason Mraz ke Malaysia pastinya menjadi salah satu tarikan utama konsert ini. Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Amerika Syarikat itu terkenal dengan muzik berunsurkan pop, folk dan akustik yang cukup dekat dengan peminat di seluruh dunia.

Dengan deretan lagu popular yang sudah menjadi sebahagian daripada playlist ramai peminat, konsert ini bakal menjadi peluang untuk menyanyi bersama lagu-lagu ikonik Jason Mraz secara langsung.
Bagi peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya semula di Malaysia, 31 Oktober nanti mungkin masa untuk kembali menikmati lagu-lagu yang pernah menjadi soundtrack zaman tertentu.



Comments