The Keris Angkat Semula Legasi Hang Tuah Ke Pawagam
- Tasnim Ahmad
- 15 hours ago
- 1 min read
Nama Hang Tuah mungkin semakin jarang disebut dalam kalangan generasi muda hari ini. Atas sebab itu, filem The Keris tampil dengan misi menghidupkan semula semangat pahlawan Melayu menerusi gabungan aksi, drama dan elemen sejarah yang dekat dengan warisan negara.

Filem ini mengisahkan seorang anggota mafia luar negara yang memburu Keris Tempa Melaka milik Hang Tuah yang dikatakan memiliki keistimewaan tersendiri. Menariknya, jalan cerita The Keris menggabungkan dua latar masa berbeza iaitu era moden dan zaman Hang Tuah, sekali gus memberi nafas baharu kepada kisah legenda Melayu.
Menurut penerbitnya, Dr. Matheyalagan, idea menghasilkan filem ini tercetus selepas melihat semakin ramai anak muda kurang mengenali tokoh sejarah seperti Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya. Baginya, The Keris bukan sekadar hiburan tetapi juga usaha memperkenalkan semula sejarah dan seni persilatan Melayu kepada generasi baharu.
Diarahkan oleh Viknes Perrabu, filem ini turut menampilkan aksi persilatan, seni bela diri moden dan pelbagai adegan lagak ngeri yang mendebarkan. Walaupun ini merupakan filem Melayu pertamanya selepas lebih 15 tahun dalam industri filem Tamil, beliau yakin dengan kekuatan skrip yang sarat dengan elemen budaya dan identiti bangsa.
The Keris dibintangi Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan. Lebih menarik, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut membuat kemunculan cameo dalam filem ini.
Bagi peminat filem aksi dan sejarah tempatan, The Keris mungkin antara naskhah yang wajar diberi perhatian apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Julai 2026.



Comments