top of page

Tangisan 1 Syawal: Lagu Raya Sedih Tantari & Putera Bobo Sentuh Hati

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 1 day ago
  • 2 min read

Kalau sebut lagu raya, biasanya kita bayangkan lagu yang rancak dan penuh kegembiraan. Tapi tahun ini, “Tangisan 1 Syawal” nyanyian Tantari dan Putera Bobo datang dengan pendekatan berbeza. Lagu raya balada ini membawa kisah menyentuh hati tentang anak yatim yang menyambut Aidilfitri tanpa insan tersayang.


Menariknya, lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Eddie Hamid, individu yang sebelum ini turut mencipta lagu hit untuk kedua-dua penyanyi cilik tersebut.


Bagi yang mengikuti perkembangan mereka, nama Tantari sudah tidak asing lagi sejak lagu “Rindu Hatiku Rindu” menjadi fenomena pada 2024. Lagu tersebut pernah menduduki tempat pertama trending di YouTube selama 20 hari berturut-turut dan mencatat lebih 16 juta tontonan.


Sementara itu, Putera Bobo pula mula menarik perhatian ramai menerusi lagu “Korban Rindu”, yang juga mendapat sambutan baik dengan lebih 1.3 juta tontonan di YouTube.

Melihat potensi kedua-duanya, Eddie akhirnya merealisasikan impian untuk menyatukan mereka dalam satu lagu.


Menurut Eddie, “Tangisan 1 Syawal” bukan sekadar lagu raya biasa. Lagu ini mengangkat kisah dua beradik yang merupakan anak yatim piatu dan luahan hati mereka menjelang hari raya.


Lebih menyentuh perasaan, Eddie sendiri mengakui beliau dapat merasai emosi lagu ini kerana pernah melalui pengalaman sebagai anak yatim.


Bila tiba penggambaran muzik video pula, barulah mereka bertemu buat kali pertama. Dalam video muzik tersebut, Tantari memegang watak adik manakala Putera Bobo memainkan peranan sebagai abang.


Walaupun baru berjumpa, chemistry mereka cepat terbina. Putera Bobo juga dilihat melayan Tantari seperti adiknya sendiri, menjadikan suasana di set lebih natural.


Bagi menjadikan penceritaan lebih menyentuh hati, penggambaran muzik video turut dilakukan di rumah anak yatim serta kawasan tanah perkuburan. Elemen ini memberi gambaran lebih mendalam tentang emosi yang ingin disampaikan melalui lagu tersebut.


Namun bagi Putera Bobo, “Tangisan 1 Syawal” merupakan lagu raya pertama dalam kerjaya nyanyiannya.


Tantari sendiri mengakui pada awalnya dia menyangka akan mendapat lagu raya yang rancak. Tetapi selepas memahami maksud lagu tersebut, dia dapat merasakan emosi sedih yang cuba disampaikan.


Bagi Putera Bobo pula, lagu ini mengingatkan dirinya supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki. Dalam masa sama, dia berharap lagu ini dapat membuka hati orang ramai untuk lebih prihatin terhadap anak-anak yatim.


Yalah, ketika kebanyakan orang sibuk membuat persiapan raya bersama keluarga, masih ada anak-anak yang menyambut Aidilfitri tanpa ibu dan ayah di sisi.


Mungkin inilah mesej paling penting yang cuba disampaikan melalui “Tangisan 1 Syawal” agar kita tidak lupa untuk berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang bernasib baik.


Comments


bottom of page