ANY PEOPLE & Vidojean Tampil Dengan WOOSA
- Tasnim Ahmad
- 11 minutes ago
- 2 min read
Kalau anda sedang mencari lagu baharu untuk dimasukkan dalam playlist, WOOSA mungkin antara yang patut diberi perhatian. Single terbaharu hasil kolaborasi antara ANY PEOPLE dan artis elektronik dari Sweden, Vidojean, hadir dengan gabungan rentak Afro House yang bertenaga bersama mesej yang cukup dekat dengan kehidupan seharian, belajar untuk melepaskan tekanan dan menikmati saat yang sedang dilalui.


Menjelang pelancaran globalnya pada 12 Jun 2026, lagu tersebut diperkenalkan terlebih dahulu menerusi sesi pratonton media eksklusif yang berlangsung di 1MORE Pizza, Taman Paramount, Petaling Jaya. Acara itu menghimpunkan media, pencipta kandungan, DJ dan penggiat industri kreatif tempatan. Turut memeriahkan suasana ialah persembahan daripada artis Afro-fusion, DEEKiD.
Di sebalik WOOSA, terdapat kolaborasi menarik antara ANY PEOPLE yang diasaskan oleh KCPlays dan Bryan Gounaramo bersama Vidojean yang dikenali dalam dunia Afro House antarabangsa. Gabungan ini menyatukan pengaruh muzik elektronik global dengan sentuhan budaya Asia Tenggara.
Nama "WOOSA" diambil daripada frasa popular yang sering digunakan untuk menenangkan diri ketika berdepan tekanan. Idea tersebut menjadi asas kepada lagu ini yang menampilkan vokal mudah diingati serta rentak yang mengajak pendengar untuk melepaskan segala beban dan menikmati momen yang sedang berlaku.
Menurut Vidojean dan Oliver Loenn, WOOSA diinspirasikan daripada detik-detik terbaik di lantai tarian apabila semua orang dapat melupakan tekanan hidup walaupun hanya untuk beberapa minit. Malah, lagu ini juga dikatakan sudah mendapat sambutan positif setiap kali dimainkan dalam set DJ Vidojean di pelbagai lokasi antarabangsa.
Lebih daripada sekadar sebuah single baharu, WOOSA turut menjadi keluaran pertama di bawah Alameyo Records dan membuka lembaran baharu buat ANY PEOPLE dalam usaha mereka membina platform budaya yang merangkumi muzik, seni, fesyen dan komuniti.

Dalam dunia yang semakin sibuk, WOOSA hadir sebagai peringatan ringkas bahawa kadang-kadang kita hanya perlu berhenti seketika, tarik nafas dan nikmati saat yang sedang kita lalui.



Comments