Siti Khadijah & Adam Lee Bergandingan Dalam Drama Sarat Emosi, Di Sebalik Reda
- Ain Najihah
- 1 day ago
- 2 min read

Drama bersiri Di Sebalik Reda bakal menemui penonton mulai 30 Jun 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima.
Karya terbitan Siti Rosmizah Semail (SR One) dan arahan Fairuz Loy ini menampilkan konflik kekeluargaan, pengorbanan dan cinta bersegi yang menyentuh emosi.
Drama ini mengisahkan tentang kehidupan keluarga Rahim yang mula berubah selepas Damia menjadi kurang upaya. Darlina sering mengalah dan mengorbankan peluang kerjaya demi menjaga hati kakaknya. Namun, kemunculan Taufiq menggugat hubungan keluarga apabila Damia turut jatuh hati. Dalam masa yang sama, konflik lain muncul apabila ibu kandung Rahim mahu menebus dosa silamnya, tetapi dihalang oleh Zaidi (adik Rahim) dan isterinya yang tamak.
Siti Khadijah Halim membawakan watak Darlina, gadis cekal yang sering berkorban demi kakaknya Damia (lakonan Shazia Rozaini) yang kurang upaya dan bersikap pentingkan diri. Manakala, Taufiq (lakonan Adam Lee), seorang lelaki setia dan romantik.
Menurut Siti Khadijah, watak Darlina mencabar kerana perlu menjalin hubungan rapat dengan ramai watak lain.
“Saya fahamkan dialog dan berkenalan dengan Darlina. Saya bercakap seperti Darlina di dalam dan luar set untuk mengenalinya dengan lebih dekat,” katanya.
Bagi Adam Lee pula, Taufiq merupakan watak yang kompleks dan perlu difahami dalam masa singkat.
“Saya hanya ada waktu seminggu untuk mendalami watak Taufiq. Saya memahami dan mengenali sesebuah naskah kerana ini adalah wajib sebelum memproseskannya,” ujarnya.
Menariknya, Di Sebalik Reda meneruskan legasi slot Tiara yang sentiasa mengetengahkan kisah masyarakat terpinggir termasuk golongan OKU.
Drama ini turut dibintangi oleh nama-nama besar seperti Delimawati, Rashdan Baba, Sheila Mambo, Sahronizam dan Aleza Shahdan.
Anda boleh menonton Di Sebalik Reda di Astro Prima (Saluran 105) atau strim di Astro GO, On Demand dan sooka.
Di Sebalik Reda bukan sekadar drama tetapi iaadalah cerminan pengorbanan, kasih-sayang dan realiti hidup yang memaksa kita untuk memilih
Comments