Selepas Empat Tahun Menyepi, Harry Styles Kembali Dengan Album Kiss All The time. Disco, Occasionally.
- Atiqah Halim

- 5 hours ago
- 2 min read

Selepas hampir empat tahun tanpa album, Harry Styles akhirnya mengesahkan kemunculan projek terbaharunya yang bertajuk Kiss All The Time. Disco, Occasionally, dijadualkan untuk dilancarkan pada 6 Mac 2026. Pengumuman ini terus mencetuskan keterujaan peminat di seluruh dunia, sekali gus menandakan bermulanya era baharu buat figura yang kini dianggap antara ikon pop paling berpengaruh generasi ini.

Nama Harry Styles mula menembusi arus perdana pada tahun 2010 menerusi program realiti The X Factor UK. Walaupun tidak muncul sebagai juara, Harry bersama empat peserta lain iaitu Louis Tomlinson, Niall Horan, Liam Payne dan Zayn Malik disatukan dalam kumpulan One Direction yang kemudiannya mencipta fenomena global. Kumpulan itu bukan sahaja mendominasi carta muzik, malah membentuk budaya peminat besar-besaran dan menjadi antara boyband paling berjaya sepanjang zaman.

Apabila One Direction berehat pada 2016, ramai tertanya sama ada Harry mampu berdiri sendiri tanpa bayang-bayang kumpulan tersebut. Namun, pelancaran album solo pertamanya membuktikan sebaliknya. Harry memilih laluan muzik yang lebih matang dan berani, sebelum benar-benar mengukuhkan namanya menerusi album Fine Line dan lagu ikonik Watermelon Sugar yang menjadi kegilaan global.

Kemuncak kerjayanya setakat ini hadir pada 2023 apabila album Harry’s House memenangi Anugerah Grammy bagi kategori Album of the Year. Pencapaian itu meletakkan Harry dalam liga tersendiri dan mengesahkan statusnya bukan sekadar bintang popular, tetapi artis yang diiktiraf secara serius oleh industri muzik. Sepanjang kariernya, Harry turut meraih pelbagai anugerah lain termasuk BRIT Awards, American Music Awards dan MTV Video Music Awards, selain mencipta impak besar dalam dunia fesyen dan budaya pop.

Kini, Harry kembali dengan Kiss All The Time. Disco, Occasionally, album studio keempat yang dikatakan membawa elemen disco, pop dan emosi yang lebih reflektif. Dengan 12 buah lagu dan kolaborasi bersama penerbit lamanya, Kid Harpoon, album ini dijangka menampilkan sisi eksperimental yang lebih berani, selari dengan evolusi muzik dan personaliti Harry sendiri. Teaser visual yang ditunjukkan sebelum pengumuman rasmi turut memberi bayangan estetik retro dan vibe yang lebih playful.

Lebih daripada sekadar pelancaran album, kemunculan projek ini membuktikan bagaimana Harry Styles terus berkembang tanpa terikat dengan imej lamanya sebagai ahli boyband. Dari seorang remaja di pentas realiti TV kepada ikon pop global, perjalanan Harry adalah bukti bahawa keberanian untuk berubah adalah kunci kepada relevan yang berpanjangan. Dengan album baharu ini, satu perkara jelas, Harry Styles belum selesai mencipta sejarah.









Comments