top of page

Populariti Ada Harga: Santau Perempuan Terlarang Dedah Obsesi & Perjanjian Terlarang

  • Writer: N
    N
  • 16 hours ago
  • 2 min read

Setiap impian sememangnya datang dengan harga tersendiri. Namun bagaimana jika harga itu bukan sekadar pengorbanan masa dan tenaga, tetapi melibatkan prinsip, maruah dan jiwa sendiri? Persoalan inilah yang menjadi nadi kepada drama thriller seram terbaharu Tonton, Santau Perempuan Terlarang, sebuah naskhah berani yang mengupas sisi gelap obsesi terhadap populariti dalam dunia hiburan.

Santau Perempuan Terlarang

Menutup tirai tahun 2025, Tonton tampil dengan karya yang bukan sekadar mahu menakutkan, tetapi mengganggu emosi dan minda penonton. Santau Perempuan Terlarang bakal menemui penonton mulai 18 Disember 2025, bersiaran setiap Isnin dan Khamis, satu episod berdurasi satu jam, eksklusif di platform Tonton.

Drama ini menghimpunkan barisan pelakon yang bukan calang-calang, antaranya Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Amin Iman dan Hanna Aqeela — masing-masing membawa watak dengan lapisan emosi dan konflik yang berat.


Kisahnya berpusat pada Iqbal, lakonan Nabil Aqil, seorang pelakon yang sudah terlalu lama bertarung nasib dalam industri hiburan. Bertahun-tahun hadir ke uji bakat, namun namanya tetap tenggelam. Setiap peluang yang hadir seakan tidak pernah memihak kepadanya. Lebih menyakitkan, watak utama yang diimpikan sering kali jatuh ke tangan Ako Danial (Fadlan Hazim), pelakon sensasi yang sentiasa menjadi pilihan penerbit.

Tekanan kerjaya yang tidak ke mana turut memberi kesan kepada kehidupan peribadinya. Hubungan dengan tunangnya, Maria (Hanna Aqeela), semakin renggang apabila kegagalan demi kegagalan mula menelan keyakinan diri Iqbal. Dalam keadaan terdesak dan rapuh itulah, rakan baiknya Maman (Amin Iman) memperkenalkan Iqbal kepada seorang wanita misteri bernama Sapora.


Sapora, lakonan Emma Maembong, digambarkan sebagai wanita berwajah lembut, tutur kata yang menenangkan dan dikenali kerana rawatan tradisionalnya yang dikatakan mampu “membersihkan aura”. Kehadirannya dalam hidup Iqbal menjadi titik perubahan yang tidak disangka-sangka. Tawaran demi tawaran mula hadir, namanya semakin dikenali, dan impian yang sekian lama dikejar akhirnya kelihatan begitu hampir untuk digapai.


Namun setiap perubahan pasti datang dengan harga. Persoalan mula timbul — apakah sebenarnya yang dilakukan Sapora? Adakah kejayaan yang dikecapi Iqbal datang secara jujur, atau wujud perjanjian terlarang yang perlahan-lahan menjeratnya?

ree

Mengulas tentang wataknya, Emma Maembong menyifatkan Sapora sebagai karakter yang sangat kompleks dan mencabar. Menurut Emma, ini merupakan peluang untuk beliau kembali meneroka genre mistik dengan pendekatan yang lebih psikologi dan berlapis.

“Sapora bukan sekadar watak wanita misteri. Dia melambangkan obsesi, kuasa dan trauma. Cabarannya adalah bagaimana untuk mengawal emosi secara halus, tanpa terlalu berlebihan, kerana kekuatannya terletak pada apa yang tidak diluahkan secara langsung,” kongsi Emma.

Apa yang menjadikan Santau Perempuan Terlarang menarik ialah keberaniannya mengaitkan unsur mistik dengan realiti dunia hiburan tentang tekanan untuk kekal relevan, keinginan untuk disanjung, dan sejauh mana seseorang sanggup menggadaikan diri demi populariti. Ia bukan sekadar drama seram, tetapi refleksi gelap tentang nafsu kejayaan yang jarang diperkatakan secara terbuka.


Dengan penceritaan yang bernafas melalui rahsia, bayang-bayang dan konflik dalaman, Santau Perempuan Terlarang dilihat berpotensi menjadi antara drama paling diperkatakan hujung tahun ini. Sama ada penonton bersedia atau tidak, drama ini jelas mengajak kita bertanya adakah kejayaan tanpa harga yang perlu dibayar?


Santau Perempuan Terlarang mula ditayangkan 18 Disember 2025, eksklusif hanya di Tonton.


Untuk lebih banyak cerita hiburan panas, drama trending dan gosip dunia seni, jangan lupa terus ‘kaypoh’ bersama kami di Kaypoh Media. 😉

Comments


bottom of page