top of page

Kerana Cinta Itu Dusta: Bila Konflik Rumah Tangga Jadi Tontonan Media Sosial

  • Writer: N
    N
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

Dalam era serba digital hari ini, tak semua yang nampak bahagia di media sosial benar-benar indah. Drama Kerana Cinta Itu Dusta membawa penonton menyelami realiti kehidupan pasangan pempengaruh yang kelihatan sempurna di mata umum, tetapi sebenarnya sedang bergelut dengan konflik dalaman yang semakin meruncing. Bermula 25 Februari 2026, drama ini akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam di slot Samarinda, TV3.

Kisahnya berkisar tentang Orked lakonan Emma Maembong dan suaminya, Sufian yang dibawakan oleh Jazmy Juma. Pasangan ini bermula dari bawah, membina perniagaan dari rumah sebelum mencipta nama sebagai pempengaruh berjaya. Kejayaan mereka banyak didorong oleh kebijaksanaan Orked dalam dunia bisnes, manakala Sufian setia menyokong di belakang tabir. Namun, apabila Orked semakin menyerlah dan popular, Sufian mula berdepan rasa tersisih dan seolah-olah hilang peranan dalam hubungan mereka sendiri.

Perasaan dipinggirkan dan ego yang tercalar akhirnya mendorong Sufian membuat keputusan yang mula menggugat kepercayaan dalam rumah tangga mereka. Keadaan menjadi lebih rumit dengan kehadiran Seri (Azira Shafinaz), sahabat rapat Orked yang pernah dibantu keluar daripada perkahwinan toksik. Apa yang bermula sebagai hubungan persahabatan perlahan-lahan berubah apabila batas semakin kabur dan rahsia mula tersimpan, sekali gus menguji kepercayaan serta kesetiaan yang selama ini menjadi asas hubungan mereka.

Apa yang menjadikan Kerana Cinta Itu Dusta menarik perhatian ialah isu yang diangkat sangat dekat dengan kehidupan masa kini. Drama ini menyentuh fenomena apabila masalah peribadi dibawa ke media sosial untuk mencari simpati atau pengiktirafan. Menurut Jazmy Juma, cabaran terbesar membawa watak Sufian adalah memahami bagaimana konflik yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya menjadi tontonan umum. Katanya, dalam realiti hari ini, apabila emosi mengatasi rasional, satu perkongsian sahaja sudah cukup untuk memburukkan keadaan.

Selain jalan cerita yang sarat emosi, drama 30 episod ini turut menampilkan barisan pelakon popular termasuk Emma Maembong, Jazmy Juma, Azira Shafinaz dan Nazrief Nazri. Latar dunia influencer dan tekanan populariti menjadikan naskhah ini terasa lebih relevan, terutama buat penonton yang hidup dalam budaya media sosial dan perkongsian terbuka.

Akhirnya, Kerana Cinta Itu Dusta bukan sekadar kisah cinta dan pengkhianatan, tetapi juga peringatan tentang batas antara kehidupan peribadi dan dunia digital. Dalam dunia yang terlalu mudah berkongsi, persoalannya – adakah semua perkara benar-benar perlu ditunjukkan kepada umum?

Comments


bottom of page