Lee Je Hoon Bakal Jumpa Peminat di KL, Raikan 20 Tahun Dalam Industri
- N

- 5 hours ago
- 2 min read
Peminat K-drama, ini berita yang boleh buat senyum lebar. Lee Je Hoon fan meeting Kuala Lumpur 2026 bakal berlangsung pada 11 April di Zepp Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-20 penglibatan beliau dalam industri hiburan Korea. Selepas mencipta pelbagai watak ikonik di kaca TV dan platform penstriman, pelakon popular ini akhirnya akan bertemu peminat Malaysia dalam sebuah acara khas yang lebih dekat dan peribadi.

Nama Lee Je Hoon semakin kukuh sebagai antara pelakon lelaki paling versatil di Korea Selatan. Kejayaan besar drama Taxi Driver bukan sahaja melonjakkan popularitinya, malah membawanya meraih Anugerah Drama SBS – Grand Prize (Daesang) pada 2023 dan 2025. Selain itu, drama thriller fenomena Signal yang pernah mendapat rating tinggi juga bakal kembali dengan musim kedua tahun ini, menjadikan momentum kariernya terus kuat di peringkat global.
Perjalanan seninya sebenarnya bermula dari bawah. Lee Je Hoon mula mencuri perhatian menerusi filem indie Bleak Night (2011) sebelum meledak dengan filem box-office Architecture 101 (2012). Sejak itu, beliau terus konsisten dengan karya berkualiti seperti Move to Heaven (2021), Chief Detective 1958 (2024) dan filem Escape (2024). Tidak hairanlah fan meeting sempena 20 tahun ini dilihat sebagai satu momen istimewa untuk meraikan perjalanan panjangnya bersama peminat.
Fan meeting bertajuk Our 20th Moment ini dijangka menawarkan pengalaman yang lebih interaktif. Selain sesi sembang santai dan perkongsian cerita sepanjang kariernya, peminat juga boleh menantikan persembahan khas daripada Lee Je Hoon. Acara ini turut menyediakan pelbagai faedah eksklusif termasuk sesi Hi-Touch, sound check, poster rasmi dengan tandatangan digital serta peluang bergambar.

Bagi kategori tertentu, peminat bertuah berpeluang menikmati sesi foto secara individu (1:1), sesi foto berkumpulan, malah ada juga peluang mendapatkan Polaroid bertandatangan. Konsep acara ini sendiri bertujuan menghargai sokongan peminat yang setia sepanjang dua dekad perjalanan seninya.
Fan meeting ini akan berlangsung pada Sabtu, 11 April 2026, jam 6 petang di Zepp Kuala Lumpur. Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu SVIP (RM888), VIP (RM658), VIP Box (RM4,988) dan Zone A (RM398), dengan setiap kategori hadir bersama faedah berbeza termasuk akses eksklusif dan sesi interaksi.
Jualan tiket akan dibuka bermula 25 Februari 2026, jam 12 tengah hari menerusi platform Fantopia, Trip.com dan Ctrip.

Dengan populariti Lee Je Hoon yang masih berada di puncak dan projek-projek baharu yang sedang dinantikan, acara ini antara fan meeting K-drama yang patut masuk dalam radar peminat tempatan tahun ini. Bukan selalu pelakon dengan rekod Daesang berganda datang ke Kuala Lumpur, jadi kalau anda peminat setia Taxi Driver atau Signal, ini mungkin peluang terbaik untuk cipta kenangan sendiri bersama bintang kesayangan.








Comments