top of page

Papa Zola The Movie Raih RM43 Juta, Terus Jadi Fenomena Animasi Tempatan

  • Writer: N
    N
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Fenomena Papa Zola The Movie terus menggegarkan pawagam Malaysia! Dengan kutipan RM43 juta, filem animasi tempatan ini bukan sahaja menghiburkan, malah menyatukan keluarga dari pelbagai generasi di seluruh negara.

ree

Sejak ditayangkan, Papa Zola The Movie menjadi pilihan ramai ibu bapa dan anak-anak untuk mencipta momen manis bersama. Bukan itu sahaja, atuk dan nenek juga tidak ketinggalan turut hadir ke pawagam, membuktikan filem ini benar-benar universal.


Fenomena ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sosial, termasuk tayangan khas dan program ‘belanja wayang’ oleh pempengaruh terkenal seperti Ashhhrap, Xavier Naxa, Cikgu Marviza, Wawan Foodie, Miera Faera dan Bella Park. Program ini memberi peluang kepada lebih ramai keluarga, termasuk komuniti terpilih, untuk menonton filem ini secara percuma.

ree

Menurut Nizam Abd Razak, Pengarah & Penulis Papa Zola The Movie dan Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, “Apa yang menyentuh hati kami ialah apabila filem ini dinikmati merentas generasi. Inisiatif komuniti ini sangat selari dengan nilai yang cuba disampaikan melalui Papa Zola The Movie kebersamaan, keceriaan dan sokongan komuniti.”

Sokongan penonton Malaysia menjadi pemangkin utama kejayaan Papa Zola The Movie.


Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif filem ini merangkap Ketua Astro Shaw, berkata, “Kejayaan ini amat bermakna untuk industri filem tempatan. Walaupun pawagam dipenuhi filem Hollywood terkenal, filem tempatan masih mampu bersaing. Kami berharap lebih ramai penonton akan hadir menyaksikan Papa Zola The Movie sepanjang cuti panjang hujung tahun.”

ree

Papa Zola The Movie bukan sekadar filem animasi. Ia mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarganya, tetapi hidupnya berubah apabila dia bertemu semula dengan rakan lama dari organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Ketegangan memuncak apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Bersama Mama Zila, Papa Zola perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.


Selain Malaysia, filem ini kini ditayangkan di Singapura dan Brunei, dan bakal menjejak panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, India dan Vietnam, serta Timur Tengah termasuk Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026.

ree

Kejayaan Papa Zola The Movie membuktikan bahawa animasi tempatan mampu berdiri setanding dengan filem antarabangsa, menarik perhatian penonton pelbagai lapisan usia, dan menjadi karya keluarga yang menyatukan semua generasi. Dengan sokongan padu penonton Malaysia, industri animasi tempatan semakin berkembang dan siap menakluk pasaran antarabangsa.

Comments


bottom of page