top of page

Konsert Countdown KITA 2026 Satukan Artis Pelbagai Bangsa, Astro Janjikan Malam Paling Gemilang Tutup 2025

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 9 hours ago
  • 3 min read
ree

Astro kembali menggegarkan hujung tahun dengan penganjuran Konsert Countdown KITA 2026 yang bakal berlangsung pada 31 Disember 2025 di IOI City Mall Putrajaya. Pengumuman rasmi dibuat menerusi rakaman program MeleTOP, sekali gus mengesahkan konsert kira detik yang paling dinanti ramai ini kembali selepas kejayaan besar edisi tahun lalu.


Untuk rekod, Konsert Countdown KITA tahun lepas berjaya menarik kehadiran lebih 30,000 penonton secara langsung di lokasi, selain meraih lebih 18 juta tontonan di platform digital dan media sosial. Tahun ini, Astro tampil lebih all out dengan barisan artis lebih besar, lebih pelbagai dan lebih padu.


Selari dengan tema KITA, konsert ini meraikan semangat perpaduan dan kepelbagaian rakyat Malaysia melalui muzik. Pentas bakal menyatukan pelbagai genre, latar belakang dan generasi dalam satu malam yang sarat emosi, tenaga dan kebanggaan sebagai anak seni tempatan.


Antara nama besar yang akan menghangatkan pentas termasuk Ella, Alleycates, Faizal Tahir, Amir Masdi, Hael Husaini, Nadeera, ALPHA, Mimi Fly, Darkkey, Ruhan selaku juara Big Stage Tamil, Geraldine Gan, Nicole Lai, Zuvy, Jun Jun, Auddra, Rayme dan ramai lagi.


Menurut Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, penganjuran tahun ini turut membawa mesej kebersamaan yang lebih mendalam, terutama mengambil kira situasi banjir yang sedang melanda negara ketika ini.


Katanya, konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah menjadi simbol perpaduan dan kekuatan industri seni tempatan apabila semua pihak berganding bahu menyebarkan semangat positif menjelang tahun baharu.


Sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir, Astro turut mengajak penonton untuk menyumbang melalui Tabung Bantuan Bencana Banjir Astro Kasih. Penonton boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan di Astro Ria atau di lokasi acara, selain pilihan sumbangan terus ke akaun Yayasan Astro Kasih.


Maklumat Konsert Countdown KITA 2026


Tarikh: 31 Disember 2025

Lokasi: The Symphony Walk East, IOI City Mall Putrajaya

Siaran TV: Astro Ria saluran 104

Platform Digital: On Demand dan Astro GO


Atur Cara Program


Pre-Show KITA 2026 akan berlangsung dari jam 4 petang hingga 6.30 petang, menampilkan bakat-bakat dari Astro Home Of Live dan dihoskan oleh Haziq Hussni.


Konsert utama pula bermula jam 9 malam hingga 10 malam, dihoskan oleh Nabil Ahmad bersama Revathy Mariappan dan personaliti radio MY FM, Yoon Ng.


Detik paling dinanti sudah tentu countdown ke tahun 2026 tepat jam 12 malam yang akan disusuli dengan pertunjukan bunga api berskala besar sebagai simbol permulaan baharu.


Astro turut bekerjasama dengan IOI City Mall Putrajaya sebagai penaja utama dan rakan lokasi rasmi, manakala Moxy Hotel Putrajaya pula dipilih sebagai hotel rasmi acara.


Tawaran Eksklusif Astro Rewards


Pelanggan Astro boleh menikmati pelbagai ganjaran eksklusif seperti kredit segera RM6 melalui aplikasi Club IOI, parkir percuma sehingga empat jam, diskaun parkir tanpa had serta potongan 15 peratus untuk tempahan Moxy Hotel.


Hello Putrajaya Jadi Pemanas Suasana


Sebagai pemanas awal, Astro turut menganjurkan acara pra-konsert bertajuk Hello Putrajaya yang bakal berlangsung pada 6 Disember 2025 jam 2 petang di Symphony East 3, Aras G, IOI City Mall Putrajaya.



Acara ini menampilkan barisan selebriti daripada pelbagai program Astro termasuk Elite, Mendua, Mark Adam, Nubhan, Iskandar Ismail, Ruri Repvblik, Naqiu, Iaman, Saputra, Mazleen, Auddra, Sharifah Shahira, ALPHA, Zuana, Alvin Chong, Nicole Lai dan ramai lagi.


Hello Putrajaya turut berkolaborasi bersama VIU menerusi sesi meet and greet eksklusif drama Satu, Dua… Dia? khas buat pelanggan Astro melalui Astro Rewards.


Dengan barisan artis lintas generasi, mesej perpaduan yang kuat dan sokongan kepada misi kebajikan, Konsert Countdown KITA 2026 dijangka sekali lagi mencipta sejarah sebagai acara kira detik paling meriah di Malaysia.

Comments


bottom of page