top of page

Konsert Countdown KITA 2026 Satukan 143,000 Rakyat Malaysia, Amir Masdi Curi Tumpuan Dengan Aksi Ikonik

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 1 day ago
  • 2 min read

Putrajaya hidup pada malam 31 Disember lalu apabila lebih 140,000 rakyat Malaysia berhimpun di IOI City Mall untuk meraikan ‘Konsert Countdown KITA 2026’. Dianjurkan oleh Astro bersama IOI Properties, acara tahunan ini sekali lagi membuktikan statusnya sebagai sambutan ambang tahun baharu nombor satu negara, malah mencatat kehadiran luar biasa seramai 143,000 orang, empat kali ganda lebih tinggi berbanding edisi sebelum ini.


Berteraskan semangat KITA, konsert ini bukan sekadar pentas hiburan tetapi simbol kebersamaan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang. Muzik, cerita dan emosi bergabung dalam satu malam penuh warna, menjadikan sambutan menuju 2026 terasa lebih bermakna dan dekat di hati.



Antara momen paling diperkatakan sudah tentu persembahan Amir Masdi yang tampil berani dan ikonik menyanyikan lagu The Final Countdown dari aras tinggi IOI City Mall. Dengan latar bunga api dan sorakan ribuan penonton, detik itu menjadi kemuncak dramatik yang terus tular di media sosial dan hangat diperkatakan selama beberapa hari. Amir sendiri mengakui peluang tersebut sebagai satu pengalaman luar biasa yang membuatkan dirinya berasa dihargai sebagai seorang penghibur.


Menurut Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Konsert Countdown KITA kini berkembang menjadi lebih daripada sekadar konsert penutup tahun. Ia mencerminkan komitmen Astro untuk menggunakan kuasa hiburan sebagai medium penyatuan, inspirasi dan penciptaan kenangan bermakna bersama rakyat Malaysia.



Sebelum tiba detik, suasana sudah mula panas dengan Tirai Konsert KITA 2026 yang dikendalikan oleh Haziq Hussni dan Fiza Frizzy. Pentas pra-konsert ini menampilkan gabungan nama besar dan bakat baharu daripada Astro Home of Live. Stacy dan Zahid membawa aura nostalgia, Liza Hanim dan Marsya mencuri perhatian, manakala Mell Sakura dan Iskandar Ismail mengubat rindu peminat Gegar Vaganza. Barisan finalis Raise The Star Malaysia, bintang Big Stage termasuk Hoondoo dan ALPHA, kumpulan tarian Hyperflex DC serta KLP48 pula memastikan tenaga penonton kekal maksimum hingga ke malam kemuncak.


Apabila Konsert Countdown KITA 2026 bermula, IOI City Mall bertukar menjadi lautan manusia yang meraikan kepelbagaian muzik dan budaya. Trio pengacara Nabil Ahmad, Yoon Ng dan Revathy Mariappan mengemudi malam penuh semangat ini dengan lancar. Persembahan Haqiem Rusli, Darkkey Nagaraja menerusi Puli Puli dan Akkamage, serta kolaborasi Faizal Tahir bersama Nicole Lai dan Ruhan Ravindran menerusi lagu Malaysia benar-benar menghidupkan jiwa penonton. Kehadiran legenda Alleycats, Ella, Hael Husaini, Nadeera, Geraldine Gan dan Amir Masdi sendiri menutup malam dengan vibe epik yang sukar dilupakan.



Saat jam tepat tengah malam, emosi memuncak apabila Nadeera menyampaikan lagu Golden, diikuti persembahan istimewa Amir Masdi yang diserikan dengan pertunjukan bunga api selama 10 minit menghiasi langit Putrajaya. Detik itu menjadi simbol permulaan tahun 2026 yang disambut dengan harapan, muzik dan rasa kebersamaan sebagai satu KITA.


Bagi yang terlepas atau mahu mengulang momen ikonik ini, rakaman penuh Konsert Countdown KITA 2026 boleh ditonton secara On Demand di Astro GO dan sooka. Sambutan mungkin sudah berakhir, tetapi kenangan malam tersebut jelas akan terus hidup dalam ingatan ramai.

Comments


bottom of page