Kemunculan Semula Penuh Teka-Teki, DOLLA Hidangkan ‘MWA’ Buat Peminat
- Ain Najihah
- May 6
- 1 min read

Kumpulan pop sensasi tanah air, DOLLA, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran teaser konsep untuk karya terbaharu mereka berjudul ‘MWA’ bakal dilancarkan pada 9 Mei 2025. Dengan tema penuh misteri dan visual dramatik, DOLLA tampil dengan pendekatan segar dan berani, sekaligus membuktikan mereka terus berevolusi dalam dunia muzik tempatan.
Video pendek yang berdurasi 38 saat itu memaparkan suasana seolah-olah dalam bilik siasatan yang menggambarkan seakan misi sulit yang sedang dirancang. Suasana tegang ini memberikan bayangan bahawa 'MWA' bukan sekadar muzik, tetapi satu naratif yang akan membuat peminat tidak senang duduk.
Lebih menarik, setiap ahli kumpulan turut diperkenalkan menerusi ‘Solo Photo Teaser’ yang berkonsepkan fail rahsia dan gaya ‘mugshot’. Angel, Tabby dan Sabronzo masing-masing tampil dengan gaya tersendiri yang mempamerkan persona berani, misteri dan menggoda. Sentuhan kreatif seperti ini bukan sahaja membina keterujaan peminat, malah memberi ruang untuk teori dan spekulasi yang mencuit rasa ingin tahu.
Universal Music Malaysia sebagai penerbit rasmi, ‘MWA’ dijangka menjadi satu lagi pencapaian hebat buat DOLLA. Pre-save dan pre-add untuk lagu ini kini sudah dibuka melalui pautan rasmi.
DOLLA sememangnya terkenal dengan keberanian dalam gaya dan bunyi dan kali ini mereka sekali lagi membuktikan bahawa mereka bukan sekadar kumpulan biasa tetapi mereka adalah ikon generasi baru yang terus berevolusi dengan gaya tersendiri.
DOLLA membuktikan bahawa mereka terus berkembang, dan iDOLLA pastinya akan menjadi saksi kepada satu lagi era gemilang dalam perjalanan seni mereka.
Kommentare