Serangan Radikal: Eddie G & Chubb-E Tegur Realiti Sosial Menerusi Hip-Hop

Ada masa lagu bukan sekadar untuk didengar, tetapi turut buat kita berhenti sekejap dan fikir tentang apa yang berlaku di sekeliling. Serangan Radikal menjadi ruang buat Eddie G dan Chubb-E menyampaikan pandangan mereka mengenai pelbagai realiti sosial menerusi pendekatan hip-hop yang santai dan bersahaja.
Single terbaharu ini menyatukan dua nama dalam dunia hip-hop tempatan, dengan Eddie G dan Chubb-E bukan sahaja bergabung sebagai penyanyi, malah turut menghasilkan sendiri lagu dan lirik untuk karya tersebut.

Diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd, Serangan Radikal membawa tema hip-hop sosial yang menyentuh beberapa fenomena masyarakat moden. Antaranya termasuk penggunaan media sosial, budaya menunjuk-nunjuk, rasa cemburu, isu di tempat kerja dan ketagihan terhadap hiburan.
Menariknya, lagu ini turut menyentuh tentang kecenderungan masyarakat untuk membuat penilaian terhadap sesuatu perkara tanpa mempunyai ilmu atau maklumat yang mencukupi.
Bagi Eddie G, istilah “serangan radikal” dalam lagu ini tidak merujuk kepada serangan secara fizikal. Sebaliknya, ia lebih kepada satu bentuk “serangan minda” melalui mesej yang disampaikan menerusi muzik dan lirik.

Menurutnya, kehidupan manusia hari ini semakin dipengaruhi oleh persekitaran sosial yang penuh dengan pelbagai perubahan dan cabaran.
Chubb-E pula melihat konsep tersebut sebagai satu pendekatan yang membolehkan mereka menyampaikan pandangan dengan cara tersendiri. Bagi beliau, “serangan” yang dimaksudkan hadir dalam bentuk yang sukar dijangka, tetapi masih berada dalam identiti dan pendekatan muzik mereka.
Dari segi penulisan, Serangan Radikal menampilkan gaya storytelling sosial yang cukup sinonim dengan Eddie G. Sebelum bergerak solo, beliau terlebih dahulu aktif bersama kumpulan Tiga Swagger.
Eddie G kemudiannya meneruskan perjalanan solo menerusi beberapa karya seperti Cerita Sama, Setiap Waktu Engkau Gemerlap (S.W.E.G.) dan Yataghayar yang menampilkan Asfan Shah.
Selain muzik, Eddie G juga cukup dekat dengan budaya skateboarding. Minat tersebut turut mempengaruhi gaya streetwear serta estetika kreatif yang dibawanya.
Bagi Chubb-E atau Muhammad Sharul Ashlyn pula, namanya mula mendapat perhatian selepas muncul sebagai juara Ceria Megastar. Beliau kemudian menerima anugerah Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 33 sebelum tampil dalam siri Projek: Anchor SPM.

Tidak hanya sebagai penyanyi, Chubb-E turut aktif sebagai komposer dan penerbit muzik. Antara karya yang pernah dikaitkan dengannya termasuk Padan Muka, Aku Tak Kisah, Tiada Noktah dan Biru Malam bersama Amir Masdi.
Gabungan kedua-dua artis ini menjadikan Serangan Radikal sebuah karya yang lebih kepada pemerhatian terhadap kehidupan seharian, bukannya cubaan untuk menyerang mana-mana pihak.
Liriknya mengajak pendengar melihat semula beberapa tabiat dan fenomena yang mungkin sudah dianggap biasa dalam kehidupan moden, khususnya ketika media sosial semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Dari sudut visual pula, single ini disertakan dengan video muzik yang diarahkan oleh pengarah dari Nigeria, Moses atau Mosesvisuals. Penggambaran dilakukan di dalam studio dengan konsep visual yang disesuaikan dengan identiti lagu.

Buat pendengar Malaysia yang gemar hip-hop dengan mesej sosial dan lirik yang mengajak kita berfikir, Serangan Radikal mungkin boleh dimasukkan dalam senarai untuk didengar. Lagu ini kini tersedia di Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.



Comments