top of page

Inteam Pertimbang Tambah Hari Konsert 25 Tahun

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 6 hours ago
  • 1 min read

Susulan sambutan luar biasa terhadap jualan tiket Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun, kumpulan nasyid popular Inteam bakal mengadakan mesyuarat bagi memutuskan sama ada akan menambah satu hari lagi untuk konsert berkenaan.

 

Menurut salah seorang anggotanya, Mohd Syahril Abdul Khalid, pihaknya menerima banyak permintaan daripada peminat yang kecewa gagal mendapatkan tiket selepas ia habis dijual dalam tempoh hanya satu jam pada Sabtu lalu.

 

“Segala keputusan sama ada untuk menambah hari hanya akan diputuskan petang ini,” katanya.

 

Mohd Syahril menjelaskan bahawa banyak aspek perlu diteliti termasuk faktor tenaga kerja dan modal memandangkan konsert ini dianjurkan sepenuhnya oleh Inteam.

 

“Banyak faktor perlu diambil kira terutama dari sudut kemampuan tenaga dan modal. Ini kerana modal konsert ini adalah daripada inteam sendiri tanpa tajaan dari mana-mana pihak,” ujarnya.

 

Tiket konsert yang dijadualkan berlangsung pada 28 September di IdeaLive, Petaling Jaya, habis terjual dalam tempoh sejam sejak dibuka Sabtu lalu.

 

Malah sebelum ini, tiket yang dibuka pada 22 Mei untuk tarikh asal konsert iaitu 27 September di Zepp Kuala Lumpur juga laris dalam masa dua jam, menyebabkan lokasi dan tarikh terpaksa diubah demi memenuhi permintaan tinggi.

 

Peminat dijangka menerima pengumuman rasmi berkaitan pertambahan hari konsert atau sebarang perubahan lokasi dalam masa terdekat.


Comments


bottom of page