Björn Again Kembali ke Kuala Lumpur, Janji Malam Penuh Nostalgia Buat Peminat ABBA
- N

- 3 minutes ago
- 1 min read
Selepas lebih sedekad tidak membuat persembahan di Malaysia, Björn Again Kuala Lumpur bakal mengubat rindu peminat menerusi konsert Björn Again – The ABBA Forever Tour yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2026.

Kumpulan tribute yang diiktiraf oleh anggota asal ABBA itu dijangka membawa kembali kehangatan muzik disko dan pop era 70-an yang masih diminati sehingga hari ini.
Menurut wakil kumpulan itu, mereka teruja untuk kembali bertemu peminat Malaysia yang terkenal dengan semangat luar biasa ketika menonton konsert. Mereka menyifatkan penonton tempatan sebagai antara yang paling meriah kerana gemar menyanyi dan menari bersama sepanjang persembahan.

Konsert berdurasi kira-kira dua jam setengah itu akan menampilkan lagu-lagu ikonik ABBA seperti Dancing Queen, Fernando, Mamma Mia, Waterloo, Gimme! Gimme! Gimme! dan Take a Chance on Me. Selain persembahan muzik, penonton turut boleh menjangkakan kostum baharu, visual pentas yang lebih menarik serta interaksi santai bersama peminat.

Apa yang membezakan Björn Again ialah konsert mereka sesuai dinikmati seisi keluarga. Daripada peminat asal ABBA hinggalah generasi muda yang mengenali lagu-lagu legenda itu menerusi muzikal Mamma Mia!, persembahan ini dilihat mampu menyatukan beberapa generasi dalam satu malam penuh nostalgia.
Bagi menambahkan lagi suasana retro, penonton turut digalakkan mengenakan busana bertemakan era 1970-an. Buat peminat muzik klasik dan disko, konsert ini pastinya menjadi peluang untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan ABBA sambil menikmati pengalaman hiburan yang menggabungkan nostalgia dan persembahan moden.



Comments