Impak Maksima 2 Bangkit Lebih Ganas dan Lebih Berani!
- Ain Najihah
- 6 hours ago
- 2 min read

Selepas 18 tahun sejak fenomena filem asalnya ditayangkan, Impak Maksima kini kembali dengan kesinambungan yang dijangka akan menggegarkan pawagam tempatan.
Filem Impak Maksima 2, arahan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang diterbitkan oleh Screen Studio Sdn. Bhd. bakal menemui penonton bermula pada 17 Julai 2025.
Filem ini menjanjikan aksi lebih mendebarkan serta paparan dunia permotoran yang lebih dramatik dan segar.


Impak Maksima 2 menyatukan pelakon asal seperti Zul Huzaimy, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar dan Riezman Khuzaimi bersama bintang generasi baru seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey, Riena Amirah dan ramai lagi.
Difahamkan, penggambaran filem ini berlangsung di beberapa lokasi ikonik termasuk Lembah Klang, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Melaka.
Filem ini turut mendapat sokongan padu dari jenama ternama seperti Goodyear, Petronas Syntium, Ultra Racing, HJC Helmet dan tidak ketinggalan kerjasama erat dari PDRM, DBKL, MBMB, MBIP dan MBJB yang membantu kelancaran produksi di lapangan.

Impak Maksima 2 mengisahkan tentang Rudy (lakonan Arfie Shah), seorang pemuda yang terjebak dengan dunia lumba haram tetapi kemudian dibimbing memasuki dunia permotoran profesional oleh Abang Joe (Dato’ Sri Eizlan Yusof). Rudy tidak sekadar diuji di litar, malah turut berdepan konflik peribadi, percintaan dengan Gia (Nelissa Nizam) serta cabaran berdepan Ray (Zul Huzaimy) antagonis yang membawa dendam lama terhadap Abang Joe.
Impak Maksima 2 bukan sekadar tentang aksi kereta. Ia turut menyentuh elemen kekeluargaan, persahabatan, perjuangan dan peluang kedua dalam hidup.
Gabungan sinematografi moden, aksi stunt yang realistik serta babak drift yang memukau pastinya akan memberikan pengalaman sinematik yang luar biasa kepada penonton.
Impak Maksima 2 berpotensi untuk menjadi filem tempatan paling berimpak tahun ini. Jangan lepaskan peluang menyaksikan filem ini di pawagam bermula 17 Julai 2025.
Comments