Pemenang Anugerah Akademi Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh Kembali Menerusi Filem It’s My Time
- N

- 10 hours ago
- 3 min read
Pemenang Anugerah Akademi Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh kembali mengubat rindu peminat menerusi It’s My Time, filem berbahasa Cina pertama yang diterajuinya sejak mencipta sejarah di pentas Oscar. Lebih menarik, filem komedi-drama ini diinspirasikan daripada kisah benar yang mengangkat mesej bahawa impian tidak mengenal usia dan setiap orang berhak memulakan lembaran baharu dalam kehidupan.

Selepas mencipta sejarah sebagai Pemenang Anugerah Akademi Malaysia bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Everything Everywhere All at Once, Tan Sri Michelle Yeoh memilih untuk kembali dengan sebuah naskhah yang lebih dekat dengan realiti kehidupan. Kali ini, beliau bergandingan bersama pelakon muda berbakat dari China, Liu Haoran, dalam sebuah filem yang menggabungkan humor, emosi dan inspirasi.
Diarahkan dan ditulis bersama oleh Bai Xue serta diterbitkan oleh Wen Muye, It’s My Time turut menampilkan barisan pelakon seperti Sarina, Bai Ke, Han Tongsheng, Qi Xi dan Liu Yang, selain penampilan khas Tian Yu, Huang Yao dan Chen Halin.
Apa yang menjadikan It’s My Time lebih menarik ialah ia diinspirasikan daripada kisah benar Zhao Wenying, seorang pesara guru dari Zhejiang yang mencipta rekod sebagai individu berusia lebih 60 tahun terpantas menyelesaikan Magic Cube dengan mata tertutup. Kisah luar biasa itu diterjemahkan ke layar perak sebagai simbol bahawa usia bukan penghalang untuk mencabar diri dan mengejar impian.

Dalam filem ini, Tan Sri Michelle Yeoh membawakan watak Zhao Yanhong, seorang wanita berusia sekitar 70-an yang enggan menjalani kehidupan yang sekadar tenang di rumah jagaan warga emas. Apabila dia menemui bakat luar biasanya dalam menyelesaikan Magic Cube, hidupnya berubah apabila dia mengambil keputusan untuk menyertai dunia pertandingan speed cubing, sekali gus mencabar persepsi masyarakat terhadap proses penuaan.
Sepanjang perjalanan itu, Zhao Yanhong bertemu Wu Youwei, lakonan Liu Haoran, bekas juara dunia Magic Cube yang kini bergelut dengan kejatuhan kerjaya dan hilang keyakinan terhadap dirinya sendiri. Walaupun datang daripada dua generasi berbeza, hubungan mentor dan pelajar yang terjalin antara mereka perlahan-lahan berkembang menjadi persahabatan yang saling memberi kekuatan untuk bangkit semula.
Keserasian Tan Sri Michelle Yeoh dan Liu Haoran menjadi antara kekuatan utama filem ini. Interaksi mereka dipenuhi dialog bersahaja, momen lucu dan babak menyentuh hati yang menunjukkan inspirasi boleh hadir daripada individu yang paling tidak disangka.
Bagi Tan Sri Michelle Yeoh, watak Zhao Yanhong merupakan antara karakter paling menyentuh hati yang pernah dibawakannya. Menurut beliau, watak itu bukan seseorang yang mahu mengubah hidup dalam sekelip mata, sebaliknya sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu walaupun usia semakin meningkat.
Bagi memastikan lakonannya tampil lebih autentik, Tan Sri Michelle Yeoh meluangkan masa memerhati kehidupan wanita-wanita warga emas di pasar tempatan. Beliau meneliti gerak tubuh, ekspresi dan interaksi harian mereka bagi menghadirkan persembahan yang lebih natural serta dekat dengan realiti.
Walaupun berlatarbelakangkan dunia pertandingan speed cubing, It’s My Time sebenarnya lebih daripada sekadar kisah pertandingan. Filem ini turut mengangkat nilai kekeluargaan, persahabatan dan sokongan orang sekeliling ketika seseorang berusaha mengejar impian yang dianggap mustahil.

Persahabatan Zhao Yanhong bersama rakan baiknya yang dilakonkan Sarina, selain hubungan bersama ahli keluarga yang dimainkan oleh Bai Ke dan Qi Xi, menambah lapisan emosi kepada keseluruhan cerita. Ia menjadikan filem ini bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan mesej yang dekat dengan kehidupan.
Antara mesej paling kuat dalam It’s My Time ialah kehidupan sentiasa menawarkan peluang baharu. Seperti Magic Cube yang mempunyai lebih daripada 43 kuintilion kemungkinan susunan, setiap cabaran dalam hidup juga mempunyai jalan penyelesaiannya jika seseorang berani untuk terus mencuba.
Salah satu babak yang dijangka mencuri perhatian ialah apabila seorang peserta muda berkata kepada Zhao Yanhong bahawa tiada layanan istimewa diberikan kepada warga emas dalam pertandingan. Dengan tenang, dia membalas, “Sebenarnya kamu agak perlahan.” Dialog ringkas itu menjadi simbol keyakinan diri dan mesej bahawa usia tidak seharusnya menjadi batasan untuk mengejar impian.

Bagi peminat filem inspirasi, It’s My Time menawarkan gabungan komedi, drama dan emosi yang seimbang. Lebih istimewa, ia menandakan kepulangan Pemenang Anugerah Akademi Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh ke layar perak berbahasa Cina menerusi sebuah kisah yang mengingatkan kita bahawa tidak pernah terlambat untuk memulakan sesuatu yang baharu.
It’s My Time bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Julai 2026. Jika anda meminati filem yang menggabungkan inspirasi, humor dan kisah penuh emosi, naskhah ini antara yang wajar berada dalam senarai tontonan bulan ini.



Comments