Tiket Sehala Angkat Kisah Mangsa Job Scam, Tayang Di Pawagam 6 Ogos
- Tasnim Ahmad
- 1 hour ago
- 2 min read
Tawaran kerja lumayan di luar negara mungkin nampak seperti peluang mengubah hidup, tetapi ia juga boleh menjadi perangkap. Filem Tiket Sehala mengangkat isu job scam atau penipuan pekerjaan yang semakin membimbangkan menerusi sebuah kisah survival thriller yang diinspirasikan daripada realiti masyarakat.

Selepas hampir setahun melalui proses pembikinan, filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.
Diarahkan dan diterbitkan oleh Rahila Ali, Tiket Sehala mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan. Tanpa menyangka tawaran tersebut membawa kepada situasi berbahaya, mereka terperangkap dalam keadaan yang mengubah kehidupan dan memaksa mereka membuat keputusan sukar demi menyelamatkan diri.
Menampilkan gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa, filem ini dibintangi oleh Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani dan Ainee Mustafa. Turut menyertai barisan pelakon ialah Hyunjun Suk dan Ha Ju Young dari Korea Selatan, Usadee Aphisit (Ninja) dari Thailand serta Naufal Samudra dari Indonesia.
Selain menggabungkan bakat dari beberapa negara, Tiket Sehala turut menjalani penggambaran di Malaysia dan Korea Selatan, sekali gus menjadikan proses pembikinannya lebih mencabar dari segi logistik, permit, cuaca serta penyelarasan antara pasukan produksi yang mempunyai budaya kerja berbeza.
Menurut Rahila, filem ini bukan sekadar mahu memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan, tetapi turut membawa mesej tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.
Isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia masih menjadi perhatian apabila ramai individu terpedaya dengan tawaran kerja palsu yang menjanjikan kehidupan lebih baik. Melalui Tiket Sehala, pihak produksi berharap penonton lebih peka dan berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan, terutamanya yang melibatkan peluang di luar negara.
Dengan gabungan elemen thriller, kisah yang diinspirasikan daripada isu semasa serta barisan pelakon tempatan dan antarabangsa, Tiket Sehala dijangka menjadi antara filem yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membuka mata penonton tentang bahaya sindiket job scam.
Filem Tiket Sehala akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.









Comments