Gebyar Nusantara 2025 Kembali Ke TRX, Edisi Paling Padu Angkat Ekonomi Kreatif Indonesia-Malaysia
- Atiqah Halim

- 3 minutes ago
- 2 min read

Kuala Lumpur bakal jadi pusat tumpuan warna budaya, rasa dan kreativiti apabila Gebyar Nusantara 2025 kembali semula ke The Exchange TRX pada 6 dan 7 Disember 2025. Festival yang dibawakan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam di Raintree Plaza, TRX KL.
Masuk edisi 2.0, penganjuran kali ini tampil lebih tersusun, lebih berimpak dan lebih besar skopnya dengan misi menolak ekonomi kreatif Indonesia ke tahap serantau, termasuk membuka lebih banyak pintu kerjasama bersama Malaysia.
Mengangkat tema Flavours of Harmony Discover Indonesia through Taste, Style, and Creativity, program ini menyatukan pelbagai cabang industri kreatif dari kuliner, fesyen, animasi, komik, permainan digital, muzik, filem hingga ke keusahawanan gaya hidup. Semua ini menggambarkan betapa pesatnya perkembangan Indonesia sebagai hab bakat kreatif dan penghasilan kandungan digital di Asia Tenggara.
Pelbagai jenama kreatif dan SME terkemuka dari Indonesia turut mengambil bahagian untuk mempamerkan kekuatan reka bentuk, pembangunan produk serta inovasi keusahawanan mereka. Dalam masa sama, Gebyar Nusantara 2025 menjadi ruang strategik untuk rakan Malaysia dan antarabangsa meneroka peluang pelaburan serta kolaborasi dalam industri kreatif Indonesia yang sedang naik.
Dari sudut fesyen, pengunjung bakal disajikan dengan industri fesyen modest termasuk batik dan tenun. Untuk pencinta makanan, deretan hidangan ikonik seperti bakso, siomay, soto banjar, makanan padang dan asinan turut menanti. Seni komunikasi visual juga akan dipamerkan bagi melengkapkan pengalaman festival menyeluruh.
Lebih menarik, suasana festival bakal dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular Indonesia iaitu Nastia, Allan Andersn dan Jefry Nicole yang akan turun padang dalam sesi walkabout serta beramah mesra bersama peminat. Segmen kuliner pula menghimpunkan pengusaha makanan terpilih yang mempamerkan inovasi dalam industri makanan Indonesia serta potensinya untuk dikembangkan ke pasaran antarabangsa melalui eksport dan francais.

Gebyar Nusantara 2025 juga disokong rakan strategik dari sektor kesihatan, perbankan dan pelancongan, menjadikan festival ini sebagai platform pelbagai sektor untuk perkongsian ilmu, jaringan perniagaan dan penerokaan peluang pelaburan.
Dengan gabungan kuliner, fesyen, pelancongan, filem, animasi, komik, permainan digital dan jaringan perniagaan di lokasi ikonik TRX KL, edisi tahun ini dijangka menjadi paling berimpak setakat ini. Indonesia tampil bukan sekadar sebagai negara budaya, tetapi sebagai pemain serius dalam inovasi dan ekonomi kreatif serantau.









Comments