top of page

Filem "SAYANG", Kolaborasi Malaysia-Taiwan Bakal Tayang 2026!

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Filem kolaborasi mega antara Malaysia dan Taiwan berjudul SAYANG akhirnya selesai menjalani penggambaran dan bakal memasuki fasa pasca produksi. 


Filem ini menyasarkan tayangan pada tahun 2026 dan diarahkan oleh pengarah tersohor Taiwan, Tang Hsiang-Chu yang sebelum ini pernah memenangi Anugerah Dokumentari Terbaik di Golden Horse Awards ke-39 menerusi How High Is The Mountain. 


Menariknya, ini merupakan filem cereka pertama arahan Tang dan juga filem Malaysia pertama arahan pengarah Taiwan!


SAYANG yang mengangkat kisah tiga remaja berlatar belakangkan budaya berbeza di Pantai Timur Malaysia. 


Filem ini juga menampilkan lokasi indah di Kelantan dan Terengganu sepanjang 40 hari penggambaran.




SAYANG menampilkan barisan pelakon hebat seperti Amir Ahnaf, Khir Rahman dan Farah Ahmad. Manakala, pelakon dari Taiwan pula ialah Lee Lee-Zen dan Tang Yung-Hsu.


Projek ini disokong oleh pelbagai entiti besar termasuk Astro Shaw, TAICCA, Taipei Film Commission dan pelabur persendirian dari kedua-dua negara. 


Penerbit Eksekutif, Jin Ong, yang juga pengarah Abang Adik, menyifatkan filem ini sebagai refleksi jujur wajah Malaysia yang jarang ditampilkan di layar perak. Beliau turut menyatakan bahawa filem ini ibarat “surat cinta buat Malaysia.”


Lebih istimewa lagi, SAYANG turut mendapat pengiktirafan awal apabila skripnya memenangi Anugerah Skrip Cemerlang ke-44 dan dipilih untuk Golden Horse Film Project Promotion (FPP) 2022. 


Menurut pengarah Tang, inspirasi SAYANG tercetus 13 tahun lalu setelah beliau menyaksikan keharmonian antara kaum ketika berada di Pantai Timur. 


Kisah ini kemudiannya disempurnakan dengan bantuan penerbit Nicole Teoh dan pasukan produksi yang berdedikasi.


Tenaga kreatif yang turut terlibat dalam filem ini ialah sinematografer Kartik Vijay, pereka bunyi Tu Duu-Chih dan pereka kostum Elaine Ng.


Malah, filem ini mendapat sentuhan visual daripada Tomi-Kuo dan skor muzik daripada RYOTA Katayama.


Sebagai usaha mengangkat nilai budaya, kasih sayang dan perpaduan rakyat Malaysia ke layar antarabangsa, SAYANG sememangnya dinanti-nantikan.


Saksikan kisah penuh emosi dan semangat cinta terhadap tanah air ini apabila ia menemui penonton pada tahun 2026.


Comentarios


bottom of page