top of page

Dato' M. Nasir Tutup Tirai CIPTA 4 Dengan Magis, Konsert Sarat Kejutan dan Momen Spontan Jadi Bualan

  • Writer: N
    N
  • 9 hours ago
  • 2 min read

Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 melabuhkan tirai siri CIPTA dengan penuh gemilang apabila Datuk M. Nasir menghidupkan malam bersejarah di Unifi Arena, Bukit Jalil dengan persembahan hampir empat jam yang sarat emosi, nostalgia dan kejutan luar biasa.

Ribuan peminat yang memenuhi arena bukan sekadar menyaksikan konsert, tetapi turut menjadi sebahagian daripada sebuah perayaan seni yang menghimpunkan karya-karya agung seorang legenda muzik tanah air.


Seawal persembahan, Dato' M. Nasir membawa penonton menyusuri perjalanan seninya merentasi lebih empat dekad dengan susunan muzik yang segar, visual pentas sinematik dan penceritaan muzik yang tersusun rapi.


Konsert ini menampilkan dua artis jemputan rasmi iaitu Datuk Awie dan penyanyi serta komposer Indonesia, Melly Goeslaw, yang masing-masing membawa warna tersendiri dalam persembahan malam tersebut.

Awie membuka segmen kolaborasi dengan Dato' M. Nasir menerusi lagu “Ghazal Untuk Rabiah”, sebelum beliau turut tampil dalam persembahan solo menyampaikan lagu ikonik “Istana Menanti” yang mengundang sorakan gemuruh penonton.


Sementara itu, Melly Goeslaw mencuri perhatian apabila berduet dengan Dato' M. Nasir menerusi dua lagu iaitu “Suatu Masa” dan “Fantasia Bulan Madu”.

Antara detik paling mencuri tumpuan malam itu ialah kemunculan Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang pada awalnya hadir sebagai penonton sebelum dipelawa naik ke pentas oleh Dato' M. Nasir.


Walaupun tanpa persediaan lengkap, Siti tetap tampil profesional apabila berduet bersama Dato' M. Nasir menerusi lagu ikonik “Bagaikan Sakti”, sekali gus mencetuskan salah satu momen paling beremosi sepanjang konsert.

Tidak lama selepas itu, pentas sekali lagi menjadi saksi kejutan apabila Ziana Zain turut diundang secara spontan oleh Dato' M. Nasir untuk berkongsi pentas. Ziana Zain mempersembahkan lagu “Halaman Asmara” dalam segmen duet bersama Dato' M. Nasir, menjadikan malam tersebut lebih istimewa dengan kehadiran dua biduanita negara secara tidak dirancang.

Menjelang penghujung konsert, suasana bertukar penuh sentimental apabila seluruh arena bergema dengan nyanyian lagu selamat hari jadi sempena ulang tahun kelahiran Dato' M. Nasir yang ke-69. Momen itu disambut dengan penuh emosi oleh M. Nasir bersama rakan artis dan pasukan produksi di atas pentas.


Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah perayaan seni yang menghimpunkan karya, emosi dan legasi seorang ikon. Gabungan persembahan mantap, artis jemputan berkualiti serta kejutan spontan menjadikan CIPTA 4 sebuah malam yang sukar dilupakan.

Dato' M. Nasir sekali lagi membuktikan statusnya sebagai legenda muzik serantau yang karya-karyanya terus hidup dan relevan merentasi generasi.

Comments


bottom of page