top of page

AIM25 2026 Bakal Meriah Dengan Dato' Sri Siti Nurhaliza, HUJAN, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Ramai Lagi

Writer: N
N
1 day ago
2 min read

Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal jadi lebih istimewa apabila malam kemuncaknya buat pertama kali dibawa ke Sarawak, dengan barisan artis popular seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, HUJAN, Akim Ahmad, Hael Husaini dan ramai lagi dijadualkan membuat persembahan di Kuching.

QBertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Sabtu, 26 September 2026, AIM25 akan meraikan 25 tahun perjalanan anugerah muzik berprestij Malaysia menerusi sambutan Jubli Perak.


Malam tersebut bakal dikendalikan oleh pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.


Dari segi persembahan pula, nama-nama besar industri muzik tempatan akan berkongsi pentas. Antaranya Adira Suhaimi, Akim Ahmad, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Bunga, Siti Nurhaliza, Estranged, Hael Husaini, Hafiz Suip, HUJAN, Marsha Milan dan Mimifly.


Turut mencuri perhatian ialah Fajar Noor dari Indonesia yang akan membawa sentuhan serantau ke pentas AIM25.


Bukan sekadar nama-nama yang sudah lama dikenali, AIM25 turut memberi ruang kepada bakat baharu. Empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik, iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim, juga bakal membuat persembahan di pentas utama.


Barisan Penyampai Anugerah Pun Tak Kurang Meriah

Selain pengacara dan penghibur, AIM25 turut menampilkan barisan penyampai anugerah daripada pelbagai latar industri hiburan.

Antara nama yang dijadualkan muncul ialah Aina Abdul, Wany Hasrita, Kaka Azraff, Yonnyboii, Iman Troye, HUJAN, Noraniza Idris, Lah Ahmad, Hazama, Stacy, Mila Jirin, Dr. Soo Wincci dan Rabbit Mac.


Gabungan nama-nama ini dijangka menjadikan malam AIM25 lebih dinamik, dengan wajah daripada pelbagai generasi dan cabang hiburan Malaysia.


AIM25 Pertama Kali Diadakan Di Sarawak

Penganjuran AIM25 di Kuching bukan sekadar sambutan ulang tahun ke-25. Ia juga menjadi kali pertama anugerah ini berlangsung di Sarawak.


Edisi Jubli Perak ini mendapat sokongan kerajaan dan pihak industri, termasuk Geran Acara Pelancongan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).


AIM25 turut menerima peruntukan RM950,000 daripada Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK), yang akan disalurkan kepada 16 pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures.


Dengan penganjuran di Kuching, AIM25 turut memberi tumpuan kepada kepelbagaian bakat dan landskap muzik Malaysia dari pelbagai wilayah.


Bila Dan Di Mana AIM25 2026?

Malam kemuncak AIM25 akan berlangsung pada Sabtu, 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.

Segmen karpet merah akan bermula pada 8.00 malam, sebelum majlis utama berlangsung pada 9.00 malam.


Bagi yang tak dapat ke Kuching, jangan risau. AIM25 akan disiarkan secara langsung di seluruh negara menerusi TVS Saluran 122 dan TVS Inspire.


Dengan barisan artis popular, persembahan bakat baharu dan lokasi penganjuran yang pertama kali menjejak Sarawak, AIM25 nampaknya mempunyai banyak sebab untuk menjadi antara acara muzik yang menarik perhatian peminat hiburan Malaysia bulan ini.


Persoalanya sekarang, siapa yang bakal membawa pulang trofi paling hangat dipertandingkan pada malam AIM25 nanti?

Comments


bottom of page