top of page

D’Masiv Kembali Ke Kuala Lumpur, Bakal Gegarkan Mega Star Arena 20 November Ini

  • Writer: N
    N
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Kumpulan pop rock Indonesia, D’Masiv, bakal kembali ke Kuala Lumpur menerusi jelajah D’Masiv Asia Home Run pada 20 November 2026. Lebih menarik, Kuala Lumpur menjadi destinasi terakhir mereka sebelum jelajah ini melabuhkan tirai di Jakarta.


Selepas menjelajah Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, D’Masiv kini meneruskan perjalanan mereka ke beberapa destinasi Asia termasuk Taiwan, Hong Kong, Singapura dan Malaysia.


Untuk peminat tempatan, konsert D’Masiv akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada jam 8 malam. Konsert ini dibawakan oleh Neptunes Presents.

Menurut vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta, jelajah Asia Home Run bukan sekadar siri persembahan muzik. Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk kumpulan itu kembali mendekati peminat di luar Indonesia dan berkongsi semula semangat yang membentuk perjalanan muzik mereka sejak awal.


Rian turut menyifatkan perjalanan D’Masiv sebagai sesuatu yang bermula dari akar umbi mereka di Ciledug, Indonesia. Elemen tersebut akan dibawa ke pentas Asia Home Run dengan harapan penonton dapat merasakan suasana persembahan yang lebih dekat dan mesra.


Kuala Lumpur Jadi Salah Satu Destinasi Penting

Pemilihan Kuala Lumpur bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan hubungan D’Masiv dengan peminat Malaysia sudah lama terjalin.


Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman, berkata Malaysia dianggap sebagai antara lokasi yang mempunyai ikatan istimewa dengan D’Masiv, malah kumpulan itu turut melihat negara ini sebagai rumah kedua.

Dengan jumlah peminat yang besar, Mega Star Arena dipilih sebagai lokasi konsert kali ini kerana menawarkan kapasiti yang lebih besar.


Peminat juga boleh menjangkakan persembahan yang menghimpunkan lagu-lagu popular D’Masiv bersama karya terbaharu mereka.


Dua Jam Dengan Lagu-Lagu Popular D’Masiv

Kalau sudah lama mengikuti D’Masiv, memang banyak lagu yang boleh dinyanyikan bersama nanti.


Menurut Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina, persembahan di bawah jelajah Asia Home Run akan berlangsung kira-kira dua jam dan menggabungkan lagu baharu bersama karya yang sudah sinonim dengan perjalanan muzik D’Masiv.


Antara lagu yang bakal mengisi persembahan termasuk Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.


Selain muzik, konsert ini turut mengetengahkan elemen visual yang membawa semangat Indonesia serta kisah akar umbi D’Masiv. Konsep tersebut diharap dapat memberikan pengalaman yang lebih dekat dan peribadi kepada peminat.


Tiket D’Masiv Kuala Lumpur Bermula RM108

Bagi yang sudah bersedia untuk mendapatkan tiket, jualan pra-jualan akan dibuka pada 8 September 2026, jam 10 pagi menerusi laman web rasmi D’Masiv Tour. Tiket ‘Early Bird’ pula ditawarkan secara eksklusif kepada mereka yang melengkapkan pra-pendaftaran.

Untuk jualan pra-jualan, harga tiket bermula daripada RM108 bagi kategori Gold, diikuti Platinum pada RM148, Festival (Berdiri) RM188, Diamond RM288 dan Super VIP RM588. Kategori Super VIP hadir dengan pakej yang lebih eksklusif termasuk tempat duduk premium berupa sofa, laluan masuk pentas, sesi bergambar, barangan eksklusif, poster bertandatangan, tiket koleksi edisi terhad serta makanan ringan dan minuman.


Peminat juga boleh mendapatkan pakej poster bertandatangan dan sesi bergambar pada harga RM100 serta Tiket Koleksi Edisi Terhad pada harga RM10 sepanjang tempoh pra-jualan.


Jadi, Dah Ready Nak Nyanyi Lagu D’Masiv Ramai-Ramai?

Dengan Kuala Lumpur menjadi antara persinggahan terakhir D’Masiv sebelum mereka menutup jelajah Asia Home Run di Jakarta, konsert ini dijangka menjadi satu lagi peluang untuk peminat Malaysia bertemu secara dekat dengan kumpulan yang sudah lebih dua dekad mewarnai arena muzik Indonesia.

Jadi, kalau “Jangan Menyerah”, mungkin sudah tiba masa untuk keluarkan semula playlist D’Masiv dan hafal lirik sebelum 20 November nanti.

Comments


bottom of page