‘Golden Blessings’ Satukan Bintang Malaysia–Hong Kong, Tayang Februari 2027

Filem Tahun Baharu Cina ‘Golden Blessings’ bakal menggabungkan barisan pelakon Malaysia dan Hong Kong dalam sebuah kisah komedi yang mencampurkan elemen percintaan, kekeluargaan, pengembaraan dan pemburuan harta karun.
Menariknya, idea asal filem ini datang daripada Edmond Wong, penulis skrip dan pencipta cerita asal di sebalik francais popular IP MAN. Edmond turut menghasilkan skrip bersama Cheung Chun Ho.

Diarahkan pengarah Hong Kong, Mak Ho Pong, ‘Golden Blessings’ mengisahkan empat individu daripada latar kehidupan berbeza yang dipertemukan oleh sebuah peta misteri harta karun.
Daripada situ, bermulalah satu pemburuan yang sepatutnya membawa mereka kepada harta karun, tetapi bertukar menjadi kecoh apabila pelbagai salah faham dan kejutan berlaku di sebuah hotel.
Bukan sekadar cerita mencari harta, setiap watak turut mempunyai kisah dan konflik peribadi tersendiri. Kesemua jalan cerita ini akhirnya bertembung dalam suasana yang penuh dengan kekalutan dan humor.

Dari Hong Kong, filem ini menampilkan Owen Cheung, Benjamin Yuen, Ruco Chan, Mandy Wong, Kent Cheng, Emily Kwan, Ha Yu, Shirley Chan dan Stefan Wong.
Pelakon Malaysia Andy Teh dan Miko Wong pula turut menyertai barisan pelakon antarabangsa tersebut.
Antara watak yang menarik perhatian ialah Ruco Chan sebagai ketua dunia bawah tanah yang berpengaruh, Benjamin Yuen sebagai pengurus hotel dan Owen Cheung sebagai seorang bakat muda yang mempunyai potensi besar.
Mandy Wong pula memegang watak seorang penyelia, manakala Shirley Chan tampil sebagai seorang pempengaruh terkenal.
Andy Teh membawakan watak pelagak ngeri seni mempertahankan diri, sementara Miko Wong memainkan watak pewaris wanita kaya. Kent Cheng dan Emily Kwan pula muncul sebagai pasangan suami isteri kaya, manakala Ha Yu membawa watak seorang warga emas yang hidup bersendirian.

Dengan gabungan pelbagai karakter dan latar belakang ini, ‘Golden Blessings’ nampaknya mahu menjadikan hotel sebagai lokasi pertemuan yang menyatukan cerita setiap watak dalam satu pengembaraan yang sama.
Filem ini turut membawa suasana Tahun Baharu Cina sebagai latar kepada kisahnya, sekali gus menjadikannya antara filem tempatan berunsur perayaan yang boleh dinantikan keluarga ketika musim perayaan.
‘Golden Blessings’ diterbitkan oleh Enotech Films dan Mandarin Pictures Production dengan kerjasama Astro Shaw, Sil-Metropole Organisation, Shanghai Pictures dan BaoZhijie Group. GSC Movies pula bertindak sebagai pengedar.

Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 4 Februari 2027, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Jadi, kalau anda suka filem yang mencampurkan komedi, harta karun, kekeluargaan dan sedikit percintaan dalam satu cerita, ‘Golden Blessings’ mungkin antara judul yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan Tahun Baharu Cina 2027.



Comments