top of page

5 Tahun Anugerah Lagu Indie: Pentas Alternatif Muzik Tempatan Kian Kukuh

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 2 days ago
  • 2 min read

Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2020, Anugerah Lagu Indie (ALI) telah muncul sebagai satu platform penting yang meraikan dan mengangkat bakat-bakat pemuzik bebas di Malaysia. 


Anugerah Lagu Indie (ALI) bukan sekadar pertandingan tetapi ia menjadi ruang berprestij bagi para pemuzik dan penulis lagu indie untuk menampilkan karya asli yang unik, berani serta tidak terikat dengan formula arus perdana.


Dalam tempoh lima tahun ini, ALI telah menerima sebanyak 3,292 penyertaan lagu yang menunjukkan bahawa sokongan semakin kukuh terhadap gerakan muzik alternatif tempatan. 


Penganjuran bagi tahun ini, ALI2024, menyaksikan sebanyak 630 penyertaan diterima. Hal ini membuktikan bahawa sambutan terhadap platform ini masih relevan dan terus berkembang.


Platform Inklusif, Pelbagai Bahasa dan Genre


Anugerah ini berbeza daripada kebanyakan anugerah muzik lain, ALI meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa iaitu dari Melayu, Inggeris, Mandarin hinggalah Tamil dan lain-lain. 


Edisi 2024 ini memberi tumpuan kepada tiga genre utama Pop, Rock dan Hip Hop. Setiap karya yang dipilih membawa identiti sendiri, naratif yang segar dan penuh emosi bagi mencerminkan suara hati para pemuzik itu sendiri.


ALI bukan sahaja mengetengahkan suara baharu, malah memberi peluang kepada karya yang belum pernah dikomersialkan untuk didengari khalayak lebih luas.


Perjalanan Lima Tahun: Dari Revolusi ke Evolusi


Musim sulung ALI pada tahun 2020 menyaksikan "Penawar" oleh Margosa muncul sebagai Juara Lagu Terbaik, manakala "Pelukan Angkasa" oleh SOG dan Shila Amzah menjadi lagu paling popular.


Tahun 2021 pula menjadi detik bersejarah apabila Rapper Arunboii memenangi tempat pertama dengan lagu berbahasa Tamil yang bertajuk “Enge Port”. 


Ini menunjukkan bahawa keterbukaan ALI terhadap pelbagai jenis bahasa dan bentuk ekspresi muzik di Malaysia.


ALI 2022 pula mencipta rekod dengan penyertaan tertinggi dengan 808 lagu dan menjadi saksi kepada kemenangan untuk lagu “Sinaran” oleh Late Night Frequency ft Ichu.


Manakala ALI 2023, format untuk pertandingan ini diperbaharui dengan pembahagian kepada tiga kategori mengikut genre buat kali pertama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop. 


Seramai 15 finalis dipilih untuk ke Pentas Akhir daripada 757 penyertaan lagu yang diterima dan kumpulan Lunar yang membawakan lagu “Pembunuh Malam” berjaya membawa pulang hadiah tertinggi dalam sejarah ALI.


ALI24: Tema Retro-Pop dan Lokasi Baharu


ALI2024 kali ini membawa tema “Vibrant Retro-Pop” bagi memberi penghormatan kepada era retro yang penuh warna dan ekspresi, namun dipersembahkan dengan sentuhan kontemporari. 


Kali ini, Pentas Akhir bakal berlangsung di lokasi baharu iaitu JioSpace, Petaling Jaya pada 27 Julai 2025 yang menandakan satu langkah yang segar dalam penganjuran ALI.


Top 15 finalis terbaik telah pun diumumkan, mewakili lima finalis setiap genre utama.

Kesemua lagu ini telah dinilai oleh barisan juri profesional merangkumi nama-nama besar industri seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Luca Sickta, Roshan Jamrock dan ramai lagi, di bawah pimpinan penerbit eksekutif Jennifer Thompson dan Med Faris.


Gerakan Budaya yang Mencorak Masa Depan Muzik Indie


Lima tahun penganjuran Anugerah Lagu Indie membuktikan bahawa industri muzik bebas di Malaysia semakin matang dan mendapat tempat di hati peminat.


ALI bukan hanya sekadar pertandingan, ia adalah gerakan budaya yang memberi suara kepada generasi pemuzik baru iaitu berani, asli dan penuh semangat.


Penglibatan kreatif yang semakin meluas dan sokongan peminat yang konsisten, masa depan muzik indie tempatan kini dilihat semakin cerah. ALI akan terus menjadi pentas utama yang menyuburkan ekosistem muzik alternatif tanah air. 


Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, anda boleh layari: www.anugerahlaguindie.com


Comments


bottom of page