top of page

Ziha Salleh Kembali Dengan Single City Pop Romansa – Eksperimen Segar Selepas Kejayaan Adat Kasih

  • kaypohmedia
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Penyanyi dan pelakon berbakat, Ziha Salleh, 30, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul Romansa, yang menampilkan sentuhan city pop segar, penuh nostalgia dan emosi.

ree

Selepas kali terakhir hadir dengan Cinta Malam Purnama (2023), kali ini Ziha tampil lebih berani dengan genre baharu hasil kolaborasi bersama penyanyi dan komposer Indonesia, Allan Andersn.


Menurut Ziha, lagu Romansa bukan sekadar karya cinta biasa, sebaliknya lahir daripada persahabatan rapat bersama Allan yang kembali terjalin selepas bertahun-tahun tidak bersua. Perbualan santai antara mereka akhirnya berkembang menjadi projek muzik penuh sentimental.

"Tanpa perancangan awal, perbualan itu akhirnya mencetuskan sebuah karya peribadi yang sangat dekat di hati kami berdua," jelas Ziha.
ree

Sebelum ini, Ziha pernah mengangkat genre etnik menerusi Adat Kasih yang berjaya memenangi Lagu Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik 23 (AIM 23). Namun, melalui Romansa, beliau membuktikan keberanian bereksperimen dengan gaya city pop retro moden.


"Saya masih sayang irama etnik, tapi sebagai anak seni, saya perlu mencabar diri. Genre city pop ini memang minat lama saya, dan saya mahu cuba sesuatu yang berbeza," katanya.


Bagi Ziha, Romansa menggambarkan rasa rindu, keraguan dalam cinta, dan keinginan untuk bersama insan tersayang. Dengan vokal tulus serta susunan muzik berjiwa, lagu ini diharap mampu menyentuh hati pendengar.


Lebih menarik, karya ini juga mencerminkan fasa kematangan hidup Ziha sebagai seorang wanita, ibu, isteri, dan anak seni yang kembali selepas memberi tumpuan kepada keluarga.

ree

Selepas berehat seketika bagi memastikan anak sulungnya selesa memulakan persekolahan pada 2024, Ziha kini lebih bersedia untuk fokus semula pada muzik.


Romansa telah dilancarkan secara rasmi pada 1 Ogos di semua platform digital, dan Ziha berharap karya ini mendapat ruang di stesen radio tempatan.

"Setelah 11 tahun dalam industri, saya masih mahu terus menyumbang sesuatu yang bermakna. Saya percaya rezeki dan perjalanan seni ini telah diatur dengan baik oleh Allah SWT," tambahnya.

Para peminat boleh menstrim Romansa di semua platform penstriman digital utama.

Comments


bottom of page