top of page

Zahiril Adzim Jadi Ustaz ‘Takdir’ Paling Santai Dalam Drama Bapa Mentuaku Mafia

  • Writer: N
    N
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Kalau sebut nama Zahiril Adzim, ramai tahu pelakon ini memang jenis yang boleh “hidupkan” apa saja watak. Selepas mencuri perhatian menerusi karakter Amir Daniel dalam Libang Libu, kali ini Zahiril muncul dengan persona yang terus buat orang curious seorang ustaz muda yang santai, kelakar dan jauh daripada stereotaip biasa dalam drama Bapa Mentuaku Mafia.

Dalam drama terbaru arahan Afiza Asram itu, Zahiril membawa watak Ustaz Takdir, seorang ustaz bertauliah yang tiba-tiba terperangkap dalam dunia mafia selepas dipaksa berkahwin dengan anak ketua mafia, Melissa lakonan Siti Hariessa.


Menariknya, Zahiril sendiri mengakui watak ini antara karakter paling fun yang pernah dibawakannya walaupun dia menganggap dirinya seorang yang serius dalam kehidupan sebenar.

Menurutnya, Ustaz Takdir bukan watak ustaz tipikal yang sering penonton bayangkan. Karakter ini lebih santai, easy-going dan dekat dengan anak muda masa kini. Dalam masa sama, elemen humor yang dibawa juga buat drama ini terasa ringan dan mudah diikuti.


Apa yang buat ramai makin tertarik, drama ini bukan sekadar komedi semata-mata. Jalan cerita Bapa Mentuaku Mafia sebenarnya campuran konflik keluarga, cinta, dunia mafia dan mesej tentang perubahan hidup. Kombinasi itu yang nampaknya cuba dibawa oleh produksi ini supaya penonton boleh enjoy sambil relate dengan emosi karakter.

Selain Zahiril dan Siti Hariessa, drama ini turut dibintangi Dato’ Razak Ahmad, Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Shekon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan.


Dalam drama ini, Takdir digambarkan sebagai seorang ustaz muda yang hidupnya tenang dan penuh prinsip. Namun semuanya berubah apabila Zack, seorang ketua mafia berpengaruh, mahu Takdir berkahwin dengan anaknya Melissa demi mengubah kehidupan keluarga mereka.

Daripada situ, bermulalah perjalanan yang penuh konflik, rahsia dan juga momen-momen lucu yang nampaknya bakal jadi antara tarikan utama drama ini. Tambah pula dengan kehadiran watak Murni yang pernah bertakhta dalam hati Takdir, memang nampak macam bakal ada banyak drama emosi yang penonton suka.


Satu lagi benda yang buat ramai senyum ialah bila Zahiril sempat berseloroh tentang isu “latah” yang sering dikaitkan dengannya. Dengan gaya tenang, dia menafikan semuanya sambil menyifatkan cerita itu sekadar “hikayat rakyat” dan “dongeng”.

Jujurnya, kombinasi Zahiril Adzim sebagai ustaz moden dalam dunia mafia memang kedengaran pelik tapi itulah yang buat Bapa Mentuaku Mafia nampak menarik untuk ditonton. Kadang-kadang drama yang paling menjadi ialah drama yang berani keluar daripada formula biasa.


Bapa Mentuaku Mafia mula ditayangkan pada 13 Mei 2026 di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam.

Comments


bottom of page