Yuka Kharisma Pertaruh Mantra, OST Untuk Filem Nar'sata: Sekutu Setan
- N

- 56 minutes ago
- 2 min read
Kalau sesebuah filem seram berjaya membuat penonton meremang, muzik pula selalunya menjadi elemen yang melengkapkan pengalaman itu. Itulah yang cuba dibawakan Yuka Kharisma menerusi Mantra, lagu runut bunyi rasmi (OST) filem Nar'sata: Sekutu Setan yang menjanjikan gabungan emosi, misteri dan penceritaan yang mendalam.
Bagi Yuka, peluang menyampaikan lagu ini bukan sekadar satu projek nyanyian biasa. Sebaik sahaja mendengar konsep filem dan hala tuju muzik yang diinginkan, beliau terus merasakan ada hubungan yang kuat dengan karya tersebut. Sebagai penyanyi dan penulis lagu, Yuka mengakui beliau sentiasa tertarik dengan lagu yang mempunyai jiwa serta memberi ruang untuk menyampaikan emosi secara jujur.

Apa yang paling mencuri perhatiannya tentang Mantra ialah suasana muziknya yang kedengaran haunting, misteri dan puitis. Namun di sebalik melodi yang tenang, lagu ini sebenarnya membawa kisah tentang pergolakan jiwa, kehilangan, harapan dan kekuatan seseorang untuk bangkit daripada luka emosi yang sudah lama dipendam.
Menurut Yuka, beliau mahu pendengar bukan sekadar menikmati melodi, tetapi benar-benar merasai perjalanan emosi yang cuba disampaikan sepanjang lagu tersebut. Malah, beliau menyifatkan Mantra sebagai sebuah karya yang cukup sinematik dan mempunyai banyak lapisan emosi.
Untuk memastikan penyampaiannya benar-benar selari dengan jalan cerita Nar'sata: Sekutu Setan, Yuka turut mendalami naratif filem itu sebelum sesi rakaman dijalankan. Dengan memahami konflik dan emosi watak-watak dalam filem, beliau dapat mencari warna vokal yang paling sesuai supaya lagu dan penceritaan saling melengkapi.

Cabaran terbesar sepanjang proses rakaman pula adalah mengimbangi teknik vokal dengan emosi yang diperlukan. Ada bahagian yang memerlukan tona suara yang sangat lembut dan intim, tetapi pada masa sama perlu kekal penuh rasa agar setiap bait lirik benar-benar sampai kepada pendengar.
Dalam masa sama, Yuka menyifatkan kerjasama bersama pasukan produksi, komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna berjalan dengan cukup baik kerana semua pihak berkongsi visi yang sama untuk menghasilkan sebuah karya yang memberi impak. Perbincangan banyak tertumpu kepada mood, emosi dan bagaimana muzik dapat memperkukuhkan naratif filem.

Yuka juga berharap Mantra bukan sahaja berjaya menghidupkan pengalaman menonton Nar'sata: Sekutu Setan, malah mampu berdiri sebagai sebuah karya yang dekat di hati pencinta muzik tempatan. Beliau turut terbuka untuk terus menghasilkan lagu tema filem pada masa hadapan kerana percaya muzik memainkan peranan penting dalam menghidupkan sesebuah penceritaan sinematik.
Dengan gabungan vokal penuh penghayatan, melodi yang misteri dan tema yang sarat emosi, Mantra dilihat berpotensi menjadi antara OST yang meninggalkan kesan kepada penonton. Kalau anda jenis yang suka filem seram psikologi dengan muzik yang mampu membuatkan emosi terus bermain selepas keluar panggung, lagu ini mungkin antara yang patut dimasukkan dalam senarai wajib dengar.



Comments