Wali Band Tebus Janji, Konsert Sabah April 2026
- N

- 2 days ago
- 2 min read
Peminat Wali Band di Sabah, ini berita yang patut masuk kalendar sekarang. Selepas konsert yang dirancang sebelum ini tidak menjadi kenyataan, kumpulan popular dari Indonesia itu akhirnya kembali dengan Konsert Wali Live in Kota Kinabalu yang bakal berlangsung pada 12 April 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Kali ini, kehadiran mereka bukan sekadar persembahan biasa. Wali Band hadir dengan satu misi yang cukup jelas menebus kekecewaan peminat Sabah yang sudah lama menunggu peluang untuk menyaksikan mereka secara langsung.

Wali Band yang dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) mengakui mereka sendiri turut merasai kekecewaan apabila konsert yang dijadualkan pada 2024 tidak dapat direalisasikan atas faktor di luar kawalan. Peluang untuk kembali ke Kota Kinabalu kali ini dianggap sebagai saat terbaik untuk membalas sokongan peminat setia di negeri itu.
Menurut Faank, beliau sedar mungkin masih ada peminat yang berasa ragu-ragu dengan pengumuman konsert kali ini. Namun, mereka memberi jaminan bahawa kumpulan itu sudah bersedia sepenuhnya dan tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan peminat Sabah.
Dari segi persembahan, peminat boleh menjangkakan susunan lagu yang lebih padat dan penuh nostalgia. Lagu-lagu hit seperti Cari Jodoh, Yank, Baik Baik Sayang dan Nenekku Pahlawanku pastinya menjadi antara momen yang ditunggu-tunggu. Bagi ramai, muzik Wali Band bukan sekadar hiburan, tetapi juga mengimbau kenangan zaman sekolah, universiti dan momen lama bersama rakan-rakan.

Harga tiket untuk konsert di Kota Kinabalu bermula dari RM98 (Nenekku Pahlawanku), RM288 (Baik Baik Sayang), RM488 (Yank) dan RM688 bagi kategori VIP Cari Jodoh. Jualan tiket telah dibuka sejak 12 Februari 2026 melalui platform rasmi dalam talian.
Menariknya, Kota Kinabalu menjadi lokasi pembuka sebelum Wali Band meneruskan konsert solo berskala lebih besar di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026. Namun buat peminat Sabah, ini adalah peluang eksklusif untuk menikmati persembahan mereka dalam suasana yang lebih dekat dan intimate.
Konsert ini dianjurkan oleh 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures dengan sokongan Era FM Sabah serta Astro Gempak sebagai rakan media. Untuk perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti akaun rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram.
Dengan misi comeback yang penuh emosi dan janji persembahan yang lebih mantap, konsert ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk peminat Sabah lepaskan rindu. Kalau anda membesar dengan lagu-lagu Wali Band, 12 April 2026 mungkin malam yang wajib anda hadir.








Comments