top of page

Viu Shorts Rasmi Dilancar, Mikro-Drama Vertikal Jadi Pilihan Tontonan Pantas Gen Z

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

Viu terus laju dalam permainan mobile-first apabila memperkenalkan Viu Shorts, segmen baharu yang memfokuskan drama vertikal berdurasi pendek khas untuk tontonan pantas. Dengan episod sekitar satu hingga tiga minit, Viu Shorts memang kena dengan gaya hidup sekarang yang sentiasa on the go.


Boleh diakses terus melalui aplikasi mudah alih Viu, Viu Shorts hadir sebagai pelengkap kepada barisan siri dan filem premium sedia ada. Kandungannya pula dikemas kini setiap bulan, jadi memang sentiasa ada benda baharu untuk ditonton tanpa komitmen masa yang panjang.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Viu dan Pengarah Urusan Kumpulan PCCW Media, Janice Lee, pelancaran ini membuka dimensi baharu kepada pengalaman penstriman. Fokus utama Viu Shorts adalah penceritaan pantas dalam format episod ringkas, sambil kekal selari dengan identiti Viu yang sinonim dengan kandungan berkualiti premium.


Dari segi variasi, Viu Shorts tampil dengan perpustakaan mikro-drama pelbagai bahasa termasuk Cina, Korea, Thai dan Indonesia. Genre pun bukan setakat cinta klise. Ada percintaan, thriller, fantasi, variasi dan drama berat yang penuh emosi. Semua judul turut disertakan dengan sarikata bahasa tempatan, jadi lebih mesra penonton serantau.



Format vertikal pula memang dioptimumkan untuk skrin telefon. Navigasi baharu di bahagian bawah aplikasi membolehkan pengguna bertukar dengan mudah antara kandungan pendek dan siri atau filem berdurasi panjang tanpa gangguan.


Dari segi akses, Viu Shorts menggunakan model freemium. Semua pengguna boleh mencubanya, tetapi pelanggan berbayar menikmati akses tanpa had ke keseluruhan perpustakaan mikro-drama. Untuk pengguna percuma, hanya judul terpilih boleh ditonton dengan paparan iklan yang berbeza mengikut tahap langganan.


Bagi memastikan aliran kandungan yang konsisten dan berkualiti, Viu turut bekerjasama dengan pengedar dan penerbit mikro-drama terkenal seperti Rising Joy, KT Studiogenie, China Huace, 1001 Frames dan Youhug Media.



Antara judul yang ditawarkan sempena pelancaran termasuk Pear Perfect yang menggabungkan drama moden dan watak wanita berjiwa kental, The Most Painful Kiss in the World yang sarat dengan elemen fantasi dan emosi, My Husband Murdered Me yang penuh dendam dan konflik, serta Becoming the Wife of a Dark Cult Overlord untuk peminat thriller mistik dan cinta terlarang.


Secara keseluruhan, pengenalan Viu Shorts mengukuhkan lagi strategi Viu dalam memenuhi permintaan hiburan bentuk pendek yang semakin meningkat. Ringkas, padat dan sesuai ditonton bila-bila masa tanpa kompromi kualiti.


Aplikasi Viu bersama segmen baharu Viu Shorts kini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store dan Google Play Store.

Comments


bottom of page