top of page

Viu Buka 2026 Dengan ‘Kelas Belakang’, Drama Pelajar Terpinggir Lawan Stereotaip

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Viu Malaysia rasmi membuka tirai 2026 dengan pelancaran Viu Original terbaharu berjudul Kelas Belakang, sebuah drama yang terus straight to the point mengangkat realiti pelajar yang sering dipandang rendah dalam sistem pendidikan.


Bakal ditayangkan mulai 8 Januari 2026, Kelas Belakang hadir dengan 12 episod dan akan bersiaran setiap Khamis dan Jumaat. Siri ini memfokuskan kisah pelajar kelas paling tercorot di sekolah, Kelas 5 Fikir, yang kerap dilabel sebagai malas, bermasalah dan tiada masa depan hanya kerana keputusan akademik mereka.



Dalam dunia yang terlalu obses dengan gred, pelajar Kelas 5 Fikir dianggap gagal sebelum sempat mencuba. Namun segalanya mula berubah apabila Iman Kirana lakonan Amylia Aidura, pelajar terbaik sekolah, tampil menawarkan diri menjadi tutor kepada mereka. Pada awalnya, langkah itu dibuat demi mendapatkan biasiswa universiti idaman, tetapi hubungan yang terjalin membuka mata Iman tentang realiti sebenar di sebalik setiap label negatif yang dilemparkan kepada pelajar kelas belakang ini.


Drama ini mengetengahkan mesej jelas bahawa potensi seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan kedudukan dalam kelas semata-mata. Kelas Belakang juga tampil dengan barisan pelakon muda berbakat besar seperti Zairi Aziz, Farihin Arnia, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina yang berjaya menghidupkan watak dengan emosi dan kejujuran.



Menurut Country Manager Viu Malaysia, Eric Siew, Kelas Belakang mencerminkan identiti sebenar Viu Original yang berani, relevan dan dekat dengan emosi penonton. Jelasnya, drama ini bukan sekadar kisah sekolah menengah, tetapi tentang keberanian mempercayai diri sendiri walaupun dunia sudah menetapkan siapa diri kita sejak awal.


Beliau turut menekankan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh titik permulaan, sebaliknya sejauh mana seseorang sanggup melangkah ke hadapan walaupun berdepan stigma dan tekanan.



Kelas Belakang diarahi oleh Nurhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu, dan diterbitkan oleh Independent Pictures. Dengan tema yang dekat dengan realiti remaja hari ini, drama ini dijangka menjadi antara naskhah tempatan yang mencetuskan perbualan, khususnya dalam kalangan Gen Z.


Strim Kelas Belakang secara eksklusif di Viu bermula 8 Januari 2026 melalui aplikasi Viu di App Store, Google Play, Huawei AppGallery, TV Pintar atau laman web rasmi Viu. Untuk info dan kemas kini terkini, ikuti Viu Malaysia di Facebook, Instagram, YouTube, X dan TikTok.



Comments


bottom of page