Upin & Ipin Wakili Malaysia ke Jepun Sempena World Expo Osaka 2025!
- Nurul Safiah
- 6 days ago
- 1 min read

Watak animasi kegemaran ramai, Upin & Ipin, membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila mereka mewakili negara di World Expo Osaka 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 15 Jun 2025.
Kehadiran Upin & Ipin di acara berprestij dunia itu adalah hasil kerjasama antara Les’ Copaque Production dan Malaysian Palm Oil Council (MPOC).
Mereka akan tampil di Malaysia Pavilion sebagai wajah mesra Malaysia dalam memperkenalkan budaya, nilai dan keunikan negara kepada masyarakat global.
Sepanjang berlangsungnya World Expo Osaka 2025, pengunjung yang hadir ke Pavilion Malaysia berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan kemunculan eksklusif Upin & Ipin.
Antaranya termasuk aktiviti menarik, persembahan istimewa, serta peluang memenangi hadiah-hadiah eksklusif yang pastinya menghiburkan kanak-kanak dan pengunjung dari pelbagai peringkat usia.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan minyak sawit tempatan, malah membawa jenama animasi tempatan ke peringkat antarabangsa serta menyuntik semangat patriotisme apabila karakter tersohor Malaysia itu dilihat membawa Jalur Gemilang dengan bangga.
Dengan semangat membawa Malaysia ke persada dunia, kemunculan Upin & Ipin dijangka menjadi salah satu tarikan utama di Pavilion Malaysia dan bukti kejayaan industri tempatan dalam membina pengaruh di luar negara.
Comments