top of page

Universe Raya Rocketfuel Himpun 7 Cerita Dalam Satu Aidilfitri

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Universe Raya Rocketfuel bukan sekadar projek lagu raya biasa. Tahun ini, Rocketfuel Entertainment tampil dengan tujuh lagu yang disusun seperti satu perjalanan emosi dari rindu, keterujaan balik kampung, sampailah ke momen paling sayu yang kita cuba sembunyikan setiap kali Syawal tiba.


Konsepnya, “Bila Bersama, Lagi Jadi.” Dan bila dengar satu demi satu, memang terasa benang merahnya.


Kumpulan ALPHA membuka cerita dengan “Rindu Raya”, lagu yang lebih tenang dan reflektif. Tentang kampung halaman, tentang rindu yang tak sempat diluah. Mood dia? Sesuai dengar waktu malam sambil fikir siapa yang dah lama tak jumpa.


Masuk pula “Kampung Kita” daripada Wani Kayrie. Ini versi ceria dan penuh keterujaan. Vibe nak pakai baju raya baru, nak makan juadah kegemaran, dan rasa tak sabar nak balik kampung.


Kolaborasi “Raya Macam Raya” menyatukan Hael Husaini dan ALPHA dalam rentak M-Pop yang segar. Lagu tentang persiapan raya, kemas rumah, susun kuih, hias ruang tamu. Bunyi simple, tapi sebenarnya itulah cara kita tunjuk kasih sayang.


Hael juga tampil solo dengan “Lagu Raya Untukmu”, lagu yang lebih peribadi dan tulus. Macam kad raya tulisan tangan. Ringkas, tapi bermakna.


“Duit Raya” nyanyian Sharul Kamal dan Mierul Aiman pula lebih realistik. Dalam keadaan ekonomi sekarang, mesejnya dekat dengan hati, ada duit atau tak, raya tetap raya. Elemen rap bagi sentuhan moden yang kena dengan generasi hari ini.


Antara yang paling menyentuh pastinya “Senyum Gugur Di Hujung Doa” oleh Dayang Nurfaizah. Balada lembut tentang kehilangan. Tentang kerusi kosong di meja makan. Lagu ini tak perlu drama berlebihan sebab emosi dia cukup kuat.


Melengkapkan universe ini, Nadeera hadir dengan “Restu Raya”, lagu tentang restu dan makna sebenar kebersamaan. Mengingatkan kita bahawa dalam sibuk beraya, jangan lupa pandang wajah orang tua dan minta doa mereka.


Secara keseluruhan, Universe Raya Rocketfuel berjaya satukan pelbagai rasa dalam satu naratif Aidilfitri yang lengkap. Bukan sekadar lagu untuk pasang dalam kereta, tapi soundtrack untuk kenangan.


Sebab akhirnya, raya bukan tentang siapa paling meriah. Tapi siapa yang masih ada di sisi.

Comments


bottom of page